
Nadia dan Muizz.
Pelakon, Nadia Brian mengikat tali pertunangan bersama jejaka pilihannya, Muizz nasruddin dalam sebuah majlis tertutup di sini hari ini.
Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, turut mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga pada 19 September ini.
Menurut Nadia, dia yakin Muizz merupakan pilihan yang tepat sebagai pasangan hidupnya kerana sifatnya yang bertoleransi.
“Dia seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Sesungguhnya, saya berasa amat bertuah kerana mengenalinya.
“Dia juga amat memahami diri dan kerjaya saya sebagai pelakon,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunangannya di sebuah hotel di sini hari ini.
Dalam majlis bertemakan alam semula jadi itu, Nadia menerima sebentuk cincin berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki.
Ibu kepada Muizz, Nona Suin, 59, telah menyarungkan cincin di jari manis Nadia sambil disaksikan ibunya, Husmarita Hussain, 49.
Selain keluarga terdekat, kira-kira 300 tetamu turut hadir memeriahkan majlis.
Nadia dan Muizz berkenalan kira-kira dua tahun yang lalu setelah diperkenalkan oleh rakan selebriti iaitu pelakon, Ainul Aishah.
Bagaimanapun, hubungan cinta antara mereka mula terjalin selepas Muizz melamar Nadia berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris pada Februari lalu.