Keluarga harap keajaiban Farid Kamil bebas




Tempoh dua minggu menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya dilalui dengan keterujaan dan kesyukuran seperti hilang sebahagian rasa buat penerbit dan pelakon bernama Fadzil Zahari. Di dadanya, ada rasa bungkam yang sukar dileraikan. Biarpun tiada kepastian, dalam doanya dia masih berharap, abangnya, Datuk Farid Kamil akan dibebaskan dan boleh beraya bersama keluarga pada tahun ini.

Akui Fadzil, seluruh keluarganya juga masih dalam keadaan terkejut untuk menerima hakikat bahawa suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan bermula 15 Mei lalu apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara terhadap Farid selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja pada tahun lalu.

Enggan mempertikaikan keputusan mahkamah, Fadzil bagaimanapun memberitahu, seluruh ahli keluarga masih mengharapkan keajaiban agar pelakon Lagenda Budak Setan itu beroleh pembebasan dengan segera,

Ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran bersama Yayasan Kebajikan Artis Malaysia (YKAT) dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) di Menara Petronas baru-baru ini, suami kepada pelakon Yana Samsudin itu terbuka bercerita banyak perkara.

Bolehkah anda berkongsi mengenai keadaan terkini Farid?

FADZIL ZAHARI: Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kepada semua wartawan yang cuba mendapatkan komen saya mengenai Farid pada hari dia dijatuhkan hukuman. Saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan pada ketika itu kerana dalam keadaan terkejut.

Kami ada menemui Farid. Alhamdulillah. Berbanding ketika dimasukkan ke lokap dahulu, kali ini dia kelihatan lebih tenang. Farid berpesan, agar saya menjaga keluarga.

Sepanjang ketiadaan dia, tanggungjawab sebagai anak sulung, kini terletak pada bahu saya.

Bagaimanakah ibu bapa anda berdepan dengan dugaan ini?

Ibu bapa sudah tentu sedih. Saya masih belum mempunyai kesempatan melawat mereka kerana kami akan pulang beraya sekitar seminggu sebelum 1 Syawal.

Kes kali ini berbeza kerana mahkamah telah menjatuhkan hukuman. Tidak seperti kes terdahulu dia hanya masuk lokap dan ada ruang untuk dibebaskan.

Selain doa ibu bapa di Jitra, Alor Setar, Kedah, kami adik beradik juga ada melakukan solat hajat untuk Farid.

Bagaimana pula dengan keadaan isteri Farid, iaitu Diana Danielle?

Kali terakhir kami bertemu ketika masing-masing hadir melawat Farid. Tidak banyak yang saya boleh ulas tentang Diana kerana kami belum berjumpa untuk duduk bersama-sama.

Sepatutnya, saya dan isteri (Yana Samsudin) berbuka puasa bersama Diana hari ini. Namun, salah seorang adik saya turut ke rumahnya hari ini, jadi kami buat keputusan untuk datang ke majlis berbuka puasa bersama anak yatim di sini.

Menerusi media sosial, anda sekeluarga termasuk Diana kelihatan tenang berdepan situasi berkenaan. Adakah anda semua sekuat itu?

Jujurnya, kami masih bersedih tetapi pendekatan kami sekeluarga ialah hidup perlu diteruskan.

Kami tidak boleh berkongsi mengenai luahan hati kepada umum di platform media sosial. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik tetapi tidak berdoa dalam media sosial.

Lagipun, saya dan Yana ada komitmen tersendiri dalam media sosial. Kami tidak boleh mencampuradukkan hal peribadi dan kerja.

Lebaran hampir tiba, adakah anda sekeluarga mempunyai perancangan melawat Farid di penjara?

Kami tidak pernah bercadang untuk melawat Farid pada hari perayaan kerana kami berharap dia keluar untuk beraya bersama.

Setiap tahun menjelang raya, Farid akan jadi ketua. Dia akan menguruskan segala hal keperluan perayaan. Dia orang yang paling bising ketika membuat persiapan.

Apakah status terkini proses rayuan permohonan untuk menangguhkan dan membebaskan Farid daripada hukuman penjara?

Saya sentiasa berhubung dengan peguam mengenai perkara ini. Malangnya, saya tidak boleh berkongsi maklumat tersebut kerana melibatkan perundangan.

Apa yang saya boleh kongsikan, pasukan peguam Farid sedang bekerja keras dan berusaha ke arah itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post