Kaka Azraff teringin mengidam




Lirikan senyuman pada wajah penyanyi Kaka Azraff sudah cukup menggambarkan rasa bahagia yang ingin dikongsi kepada khalayak. Ketika itu, dia hadir pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis Warner Music dan anak yatim di Hotel Royal Kuala Lumpur baru-baru ini.

Reaksi spontannya yang acap kali mengusap perut sambil menjabat tangan rakan artis, membuatkan umum faham benar bunga-bunga cinta yang sedang mekar di laman kasihnya.

Usai tamat majlis, pemilik nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, yang masih mampu menggayakan sepasang kasut tumit tinggi empat inci itu berjalan perlahan menuju ke ruang sidang akhbar.

“Hari ini, saya tidak sabar untuk bertemu dengan rakan media kerana mahu berkongsi berita gembira bahawa saya telah berbadan dua. Usia kandungan saya kini empat bulan,” katanya sambil memeluk erat tubuhnya.

Kali pertama tampil berkongsi mengenai berita itu, Kaka berkata, dia telah lama menahan perasaan teruja untuk berkongsi berita berkenaan terutama bersama peminat dan rakan media.

Namun, demi menghormati permintaan suami, Adam Azriff, 26, keluarga daripada kedua-dua pihak dan nasihat doktor, dia akur untuk tidak terlalu terbuka mendedahkan perkara tersebut.

“Saya tidak mempunyai niat mahu menyorokkan berita baik ini. Jika diikutkan hati, saya mahu segera berkongsi berita gembira ini. Namun atas nasihat doktor, suami dan keluarga saya batalkan niat itu.

“Mereka menasihatkan saya supaya bersabar dan tunggu sehingga bayi berada dalam keadaan sihat dan kuat sebelum berkongsi berita kehamilan ini kepada umum,” ujarnya.

Pengorbanan

Berkongsi mengenai pengalaman melalui fasa trimester pertama, pelantun Bukan Hal Aku Itu berkata, dia mengalami alahan yang teruk sehingga tidak boleh keluar dari rumah.

“Sepanjang tiga bulan pertama, saya lebih selesa menjarakkan diri daripada suami (Adam). Sehingga pada satu tahap, saya terpaksa meminta Adam menjauhkan diri daripada sata. Adam sehingga berseloroh mahu keluar dari rumah.

“Saya juga selesa untuk berada di rumah dan mengelak daripada keluar kerana benci mengenakan mekap. Alhamdulillah, kini kesemua simptom itu telah tiada,” katanya disambut hilai tawa.

Sungguhpun begitu, Kaka mengakui amat menghargai pengorbanan suami kerana sanggup berhenti daripada merokok demi memastikan kandungannya tidak berdepan sebarang risiko.

Biarpun semuanya berjalan dengan lancar dan keadaan kandungan yang disahkan sihat, Kaka sebenarnya teringin untuk merasai pengalaman mengidam.

Tuturnya, sehingga kini dia belum pernah terasa seperti orang mengidam dan teringin untuk melalui proses itu sebagai sebahagian daripada pengalaman hamil anak pertama.

“Alhamdulillah, Adam sanggup berkorban demi saya dan anak. Sukar untuk kita mendapat pasangan yang sanggup sama-sama berkorban. Dia banyak membantu dan memahami saya sepanjang kehamilan.

“Tetapi sehingga kandungan berusia empat bulan, saya teringin merasa perasaan mengidam. Proses mengidam itu yang belum saya lalui,” luahnya.

Ketika diminta berkongsi perasaan suami tatkala mendapat khabar bahawa dirinya telah hamil, Kaka merasakan anugerah Tuhan itu hadir pada masa yang tepat.

Biarpun usia perkahwinan belum mencecah setahun, ditambah pula usia Adam yang masih muda, Kaka optimis suaminya telah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Menurut Kaka, hampir lima bulan hidup sebumbung bersama Adam, tidak pernah sehari pun dia berasa pilihan menggalas status isteri kepada suaminya adalah keputusan tidak tepat.

“Setiap hari bersamanya adalah hari yang bahagia. Itulah fasa yang sedang saya lalui. Oleh sebab itu, saya yakin, dia telah bersedia dan mampu menggalas status seterusnya dalam perkahwinan iaitu bergelar seorang bapa,” luah Kaka jujur.

Kerjaya

Galak bercerita mengenai momen kehamilan permata sulungnya, Kaka bagaimanapun enggan meletakkan sebarang harapan terhadap jantina anak.

Seperti pasangan ibu bapa yang lain, Kaka selesa menyerahkan jantina anak kepada Allah dan hanya berdoa melahirkan bayi yang sihat.

“Saya tidak kisah mengenai jantina bayi yang bakal lahir kelak. Asalkan anak kami selamat dan membesar sebagai hamba yang soleh atau solehah,” tuturnya.

Sempat bertanya mengenai rencana kerjaya, ternyata Kaka memilih untuk tidak memperlahankan rentak walaupun dalam keadaan hamil.

Tidak mahu menjadikan kehamilannya sebagai alasan untuk tidak berkarya, Kaka bakal kembali ke studio untuk merakamkan lagu baharu.

Katanya, lagu tersebut berkisar mengenai kehidupannya kini yang sentiasa dalam momen yang bahagia. Tidak mahu melupakan setiap pengalaman manis dalam hidupnya, dia mahu lagu tersebut menjadi ‘album’ kebahagiaannya.

“Insya-Allah saya akan kembali ke studio untuk merakamkan lagu. Lagu itu kelak adalah mengenai kebahagiaan. Kami telah mempunyai material hanya menunggu proses rakaman sahaja,” ujarnya.

Mengenai kemampuan untuk memenuhi undangan pentas, Kaka menyerahkan kepada pihak label iaitu Warner Music untuk menyusun jadual seninya.

Tambah Kaka, dia yakin pihak label amat memahami dan bijak memastikan dirinya seimbang antara menjalani proses kehamilan dan kerjaya.

“Pada tahun lalu, saya suka bekerja. Bulan Ramadan kali ini, tambahan pula sedang hamil, saya masih boleh bekerja mengikut kemampuan. Saya serahkan urusan kerjaya berkaitan jemputan persembahan dan pengurusan jadual kepada label,” katanya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post