Johan As’ari tolak watak LGBT




Johan As’ari sudah empat tahun berpuasa dan bakal menyambut Syawal tanpa sentuhan seorang ibu.

Lama tidak bertemu dengan pelakon yang pernah meledak menerusi drama rantaian Juvana, Johan As'ari.

Biarpun wajahnya jarang menghiasi drama tempatan, pelakon berusia 33 tahun itu optimis bahawa rezekinya sebagai anak seni masih ada walaupun tidak selebat pada awal kemunculan.

Bakal tampil dengan dua buah filem yang dijangka ditayangkan sekitar tahun ini, Johan turut berkongsi pendiriannya enggan menjayakan watak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam mana-mana naskhah lakonannya.

Ditemui Kosmo! pada majlis Meraikan Anak Yatim bersama Kumpulan Utusan dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di ibu pejabat Utusan di Chan Sow Lin baru-baru ini, Johan berkongsi mengenai perancangan kerjayanya.

Apakah aktiviti Johan sepanjang Ramadan ini?

JOHAN AS’ARI: Saya mengelak untuk bekerja sepanjang Ramadan kerana lebih selesa meluangkan masa bersama keluarga. Ramadan juga merupakan bulan terbaik untuk saya menumpukan perhatian terhadap ibadah.

Seperti kebiasaan tahun terdahulu, saya akan hadir memenuhi undangan berbuka puasa bersama anak yatim dan menyampaikan motivasi berdasarkan pengalaman sebagai anak seni.

Apakah momen yang anda rindui ketika Ramadan?

Sudah empat tahun saya beraya dan berpuasa tanpa dia (ibu) di sisi, saya amat merindukan arwah. Tanpa dia, Ramadan terasa terlalu sunyi. Momen yang paling saya rindu ialah makan masakan ibu.

Ibu seseorang yang gemar memasak. Malah, ketika sahur sekali pun ibu akan memasak lauk baharu berdasarkan permintaan anak-anak.

Jika berbuka, saya lebih gemar berbuka puasa di rumah berbanding membeli juadah di bazar.

Kerjaya anda kelihatan perlahan sejak kebelakangan ini. Adakah anda masih aktif?

Diakui, penglibatan saya dalam lakonan tidak seperti dahulu. Namun alhamdulillah, rezeki sentiasa ada. Insya-Allah, untuk tahun ini saya akan tampil dengan dua buah filem.

Sebuah filem bertajuk Mat Kilau dan sebuah lagi Banglo 99. Saya juga bakal muncul dalam telefilem yang akan ditayangkan bersempena sambutan Syawal. Telefilem tersebut bertajuk Kecoh Malam Raya yang akan bersiaran di TV1.

Adakah anda terlalu memilih naskhah sehingga mengakibatkan jarang tampil di televisyen?

Tidak, saya tidak pernah memilih naskhah. Saya sedar dunia lakonan merupakan punca pendapatan utama dan tidak boleh terlalu memilih.

Saya tidak kisah untuk menjayakan apa sahaja watak asalkan mencabar. Namun, saya akan menolak naskhah yang memerlukan saya melakonkan watak LGBT.

Mengapa anda enggan melakonkan watak LGBT. Adakah anda anti dengan golongan seperti itu?

Untuk berkawan saya tidak mempunyai masalah. Saya seorang yang neutral dan boleh berkawan dengan sesiapa sahaja.

Berbeza apabila melakonkan watak LGBT. Saya khuatir jika satu hari nanti, lakonan itu akan menjadi ikutan. Saya juga tidak mahu anak-anak melihat saya dalam watak sebegitu.

Memandangkan kerjaya lakonan anda tidak serancak dahulu, adakah anda mempunyai kerja sampingan?

Saya masih bergantung dengan dunia lakonan sepenuhnya. Teringin untuk berniaga, tetapi saya tidak mempunyai ilmu.

Bagi saya, lebih baik saya tumpukan terhadap pekerjaan yang saya tahu.

Selebihnya saya mengambil khidmat ulasan produk di Instagram peribadi.

Post a Comment

Previous Post Next Post