Farah Idayu kecewa didakwa mandul




Biarpun sudah lima tahun mendirikan rumah tangga, Idayu tidak pernah berhenti berdoa dan usaha agar dikurniakan rezeki cahaya mata.

Hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, pasangan mana yang tidak mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih hubungan antara suami dan isteri.

Demikian luahan penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia Megastars, Idayu mengenai impiannya untuk memilik zuriat

Walaupun di bibirnya meniti ungkapan anak merupakan rezeki daripada Allah, pemilik nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob itu tidak dapat lari daripada merasakan dirinya gagal sebagai seorang wanita.

Selain berkisar mengenai zuriat, penyanyi yang sering digelar Mariah Carey Malaysia itu berkongsi rencana kerjaya termasuk projek duet bersama Misha Omar

Ikuti temu bual bersama Idayu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama penyanyi-penyanyi lagu tema drama bersiri Nur di Meet & Dine, Sungai Long, Cheras, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Apakah perkembangan seni terbaharu Idayu ?

IDAYU: Saya sedang menyiapkan single terbaharu yang merupakan sentuhan suami, Shahrul Fadzil dan bekas peserta Akademi Fantasia, Yazer. Lagu berkenaan berentak balada seperti permintaan peminat.

Selebihnya, saya dalam perancangan melaksanakan konsert mini sulung yang tertangguh pada April lalu.

konsert mini berkenaan akan bertemu peminat sekitar Disember tahun ini atau Januari depan.

Adakah lagu baharu itu kelak akan memuatkan kelebihan anda menggunakan teknik vokal whistle?

Ya. Kalau saya tidak lakukan teknik tersebut peminat akan pelik. Boleh dikatakan dalam setiap persembahan pentas dan lagu saya perlu menyelitkan teknik berkenaan.

Bagaimanapun, saya akan mengikut kesesuaian lagu. Mustahil untuk saya menyelitkan teknik whistle dalam lagu raya.

Adakah anda masih belum bersedia menimang cahaya mata selepas lima tahun mendirikan rumah tangga?

Jika anak boleh dihasilkan di kilang, saya telah mempunyai satu kumpulan koir di rumah. Saya tidak pernah merancang, mungkin Allah belum menetapkan rezeki kami untuk menimang cahaya mata.

Sejujurnya, ada masanya saya rimas dengan pertanyaan berkaitan zuriat. Hinggakan pada satu tahap khalayak berpendapat salah seorang daripada kami suami isteri mandul.

Namun, saya dan suami reda dan tidak pernah berhenti berdoa.

Adakah anda bercadang melakukan rawatan kesuburan?

Saya pernah melakukan pemeriksaan. Suami pula sibuk. Dulu memang saya ada masalah kesuburan kerana tekanan.

Alhamdulillah, kini semakin baik. Kami tidak pernah berhenti mencuba.

Berbalik mengenai kerjaya, khabarnya anda akan berduet bersama Misha Omar?

Saya tidak sabar untuk berbincang bersama Misha tentang perancangan duet ini. Idea itu datang setelah saya berduet dengan Misha dalam sebuah persembahan pentas. Saya tidak pernah merasai perasaan begitu puas ketika beraksi di pentas

Namun, saya dapat merasakan perasaan tersebut ketika berduet dengan Misha. Doakan segalanya berjalan dengan lancar.

Bagaimana persediaan sambutan Aidilfitri?

Memandangkan hanya kami berdua, persiapan dilakukan secara sederhana. Kami menyediakan apa yang patut sahaja seperti pakaian dan juadah. Bercakap mengenai sambutan pula, seperti kelazimannya, saya akan berada di Kelantan dan Jitra, Kedah.

Post a Comment

Previous Post Next Post