As'ad Motawh sering buat kerja amal




Penyanyi As’ad Motawh mendedahkan dia kerap melakukan aktiviti kebajikan setiap bulan sebagai antara kegiatan ibadah dengan hasil pendapatannya sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, As’ad, 18, tidak mahu mempamerkannya dalam laman sosial dan lebih suka melakukannya secara diam.

As’ad mendedahkan perkara itu selepas dia didakwa netizen kerap membelanjakan wang untuk membeli-belah dan berseronok.

“Walaupun mereka kecam saya dengan pelbagai perkara, tetapi saya banyak lakukan perkara baik yang orang tak nampak termasuklah aktiviti kebajikan setiap bulan,” katanya ketika ditemui pada acara sesi ramah mesra bersama peminatnya anjuran jenama telefon pintar Honor, hari ini.

As’ad berkata, dengan rezeki yang ada dia hulurkan bantuan berupa sedikit wang tunai dan makanan kepada anak-anak yatim.

Penyanyi lagu Senyum ini memperuntukkan sebahagian daripada pendapatannya kepada badan kebajikan dan dia melakukannya sejak sebelum bergelar penyanyi lagi.

“Ketika memperoleh pendapatan pertama RM1,000, saya terus gunakan wang itu untuk kebajikan, tapi orang ingat saya beli kasut mahal.

“Sebelum menjadi penyanyi, saya kerap menderma juga tapi secara kecil-kecilan. Saya percaya, apabila kita sentiasa memberi pasti rezeki kita akan bertambah,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post