Ammar Alfian mengaku salah, berusaha selamatkan perkahwinan




Ammar mengaku pernah membuat kesalahan terhadap Nelissa (kanan) tetapi telah pun berkali-kali meminta maaf kepada wanita itu.

Susulan dakwaan berlaku curang oleh isteri sendiri, pelakon Ammar Alfian akhirnya membuka mulut menjawab isu berkenaan sebentar tadi.

Menerusi kiriman di Instagramnya, Ammar mengaku pernah membuat kesalahan terhadap isterinya, Nelissa Nezam tetapi telah pun berkali-kali meminta maaf kepada wanita itu.

"Fokus saya cuma untuk anak lelaki kami, benda lain tidak penting. Saya berdiam diri dan selesaikan hal ini antara kami berdua sahaja tetapi dia mahu dedahkannya kepada umum dan malukan saya.

"Seolah-olah dia tidak pernah buat silap. Saya tidak akan terjerat dalam permainan dia. Saya maafkan dia dan orang yang membuat spekulasi tanpa mengetahui cerita sebenar.

"Cukuplah antara saya, dia dan keluarga kami yang tahu. Saya mengaku buat silap dan sudah banyak kali minta maaf kepada dia. Tetapi ini balasan yang saya dapat," tulisnya.

Bagaimanapun, dia kecewa kerana Nelissa tetap mengambil jalan menyebarkan kisah rumah tangga mereka kepada umum sekali gus memalukan dirinya.

"Saya harap dia berpuas hati selepas motif dia tercapai. Saya serahkan segalanya kepada Tuhan. Saya pendosa tetapi saya percaya Tuhan itu Maha Pengampun," katanya.

Terdahulu, Nelissa membuat pendedahan di Instagramnya pada Isnin lalu dengan mendakwa Ammar berlaku curang ketika dia kini sedang sarat hamil enam bulan.

Bagaimanapun tindakan Ammar yang menyangkal dakwaan itu membuatkan Nelissa sekali lagi mendedahkan paparan skrin perlakuan curang suaminya.

Sementara itu tambah pelakon filem Paskal itu lagi, dia turut meminta agar semua pihak menghormati perkahwinannya dan memberi ruang untuk dia menyelamatkan rumah tangga yang dibina.

"Ini merupakan kenyataan terakhir daripada saya tentang isu ini. Saya harap perjalanan hidup saya akan lebih tenang dan lebih dekat dengan Allah selepas ini. Setiap yang berlaku ada hikmahnya, terima kasih," ujarnya

Post a Comment

Previous Post Next Post