Afieq Shazwan mula jadi perhatian gadis




Penyanyi dan pelakon, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros atau Afieq Shazwan mengakui selepas usianya mencecah 22 tahun barulah dirinya mula mendapat perhatian ramai gadis.

Atas alasan itu juga kata Afiq, sebelum ini sewaktu usianya lewat remaja dan awal 20-an, dia masih belum mempunyai kekasih disebabkan hubungannya dengan teman wanita sering kecundang.

Ketika ditemui baru-baru ini, Afiq yang berkongsi cerita peribadi, dia mula berasakan perubahan apabila sekarang ini ramai gadis sudah mula mahu mendekati dirinya.

“Bagaimanapun saya tidak mahu memikirkan soal itu (bercinta) lagi, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada kerjaya seni mahupun pelajaran,” katanya yang kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di sebuah universiti swasta di Shah Alam.

Katanya, sebelum ini dia ada berkenalan dengan seorang gadis, bagaimanapun hubungan mereka tidak berpanjangan. Dan untuk mencari pengganti tidak mudah kerana ramai wanita tidak mahu mendekatinya kerana beranggapan dia nampak kebudak-budakan dan tidak matang.

“Situasi berbeza sekarang ini. Sebaik usia saya mula mencecah 22 tahun dan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Mungkin juga sekarang orang lihat fizikal saya pun dah berubah. Dah besar dan bujang,” katanya.

Kata penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Idola Kecil dan Big Stage itu, dia sedar dirinya menjadi perhatian ramai gadis apabila rakan di universiti mula mahu mendekati dirinya.

“Ada juga dalam kalangan pelajar junior perempuan, menghantar mesej mahu berkenalan. Dan lebih daripada itu ada antara rakan perempuan begitu prihatin bertanyakan mengenai pengajian saya.

“Mengambil contoh kalau ada tugasan yang perlu dibuat secara berkumpulan mereka bertanyakan adakah saya sudah mempunyai kumpulan dan mengajak menyertai mereka.

“Ada juga yang bertanya adakah saya sudah memulakan membuat tugasan sesuatu subjek. Kalau sudah mereka mahu membantu membantu melakukannya,” katanya.

Kata Afiq, dia terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan, namun begitu dia tidak pernah mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi. Lebih-lebih lagi perkara yang membabitkan soal pengajian.

“Kalau mereka buatkan tugasan saya pun, lambat laun pensyarah akan dapat tahu juga dan nanti kesannya lagi buruk untuk saya mahupun orang yang membantu dan dikenakan tindakan. Saya kalau boleh tidak mahu perkara seperti itu berlaku.

“Biarlah soal cinta saya letak ketepi terlebih dulu dan memberikan tumpuan kepada pengajian dan kerjaya seni,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post