Sheila Majid mengamuk majalah antarabangsa tulis mahu berhenti menyanyi, jual produk




Sheila Majid menafikan dirinya terbabit dalam sebarang promosi produk kecantikan.

Penyanyi Datuk Sheila Majid berang apabila ada pihak menggunakan namanya bagi tujuan mempromosikan produk kecantikan menerusi artikel palsu kononnya terbitan sebuah portal antarabangsa terkenal.

Sheila, 55, bagaimanapun menafikan sebarang temu bual bersama laman web terbabit berhubung produk berkenaan yang turut mendakwa dia bakal meninggalkan kerjayanya dalam bidang nyanyian.

"Saya nak beri amaran bahawa ini merupakan fitnah. Saya tak pernah dengar apatah lagi menggunakan produk ini.

"Malah apa yang diperkatakan dalam sesi temu bual itu juga adalah tidak masuk akal," katanya.



Sheila Majid memuat naik artikel palsu yang mengaitkan dirinya dalam mempromosikan sebuah produk kecantikan.

Sheila memuat naik paparan skrin artikel palsu serta catatan mendakwa dirinya antara pengguna produk berkenaan di laman Instagram pada Isnin.

Dalam artikel itu, Sheila kononnya memberitahu dia bakal meninggalkan bidang nyanyian kerana ingin fokus dalam menjana pendapatan melalui produk tersebut.

Selain itu Sheila juga membayangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang menerusi penggunaan tanda pagar (hashtag) #iwillfindyouandsue.

Sementara itu, berdasarkan komen pada posting berkenaan, beberapa netizen mendakwa ia adalah tindakan penipuan scam yang dikatakan pernah berlaku kepada beberapa selebriti terkenal seperti pelakon Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Netizen juga mendakwa pemilik produk itu menggunakan modus operandi sama iaitu menerbitkan artikel bagi tujuan mempromosikan produk menggunakan nama selebriti popular sebagai mangsa.

Post a Comment

Previous Post Next Post