Penyatuan vokal tiga diva Siti Sarah, Misha Omar & Noryn Aziz




Jika dirangkumkan penampilan trio vokalis wanita terhebat negara dalam perkataan, hanya satu frasa yang sesuai digunakan iaitu sempurna.

Paduan vokal Siti Sarah, Misha Omar dan Noryn Aziz sedikit pun tiada kecacatan sehingga membuatkan penonton tidak bosan menyaksikan persembahan dalam setiap segmen untuk dua malam berturut-turut konsert Soul Sisters di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April lalu.

Suatu keistimewaan dalam persembahan ketiga-tiga diva itu, apabila setiap daripada mereka jauh daripada misi menonjolkan sisi kekuatan vokal masing-masing.

Tidak menukar pentas Panggung Sari menjadi gelanggang tinju suara, trio itu nyata seimbang mengawal setiap sudut pentas berprestij tersebut atas nama seni.

Siti Sarah ketika ditemui berkata, Soul Sisters adalah sebuah konsert yang amat bermakna bagi dirinya kerana terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan demi kelangsungan sempurna.

Dia yakin, dua rakan pentas yang kini dianggap umpama keluarga turut menzahirkan pendapat sama mengenai penampilan mereka di pentas Soul Sisters. Sarah berharap peminat terhibur dengan penampilan mereka.

“Anda perlu faham, di pentas ini kami umpama keluarga yang mahu memastikan setiap penonton terhibur dengan persembahan kami.

“Kami tidak berdiri di atas pentas untuk menonjolkan diri siapa yang lebih hebat. Kami sama-sama berkongsi momen sepanjang persiapan konsert Soul Sisters dan itu hasilnya yang penonton saksikan,” ungkap pelantun lagu Semakin itu.

Sempat menyampaikan lagu daripada Beyonce bertajuk Listen, penyanyi genit berusia 35 tahun itu membuatkan mulut penonton ternganga seketika. Nyata, vokal Siti Sarah bertepatan dengan tema soul dan R&B pada konsert berkenaan.

“Alhamdulillah jika peminat suka dengan penyampaian lagu berkenaan,” katanya ketika mengulas mengenai pujian wakil media buatnya ketika menyampaikan lagu dalam bahasa Inggeris.

Air mata

Memegang gelaran penjulang tiga kali trofi Persembahan Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu, Misha Omar pula tidak pernah menghampakan penonton setiap kali beraksi.

Pelantun Bunga-Bunga Cinta itu yang selayaknya mendapat jolokan ratu pop atau balada kerana menonjolkan sisi berbeza secara eksklusif hanya pada konsert Soul Sisters.

Tidak berlebihan jika penulis menyifatkan adalah satu kerugian buat para peminat hiburan tanah air yang terlepas menyaksikan secara langsung kehebatan vokal Misha menyelami genre soul dan R&B menerusi konsert berkenaan.

Memukau hadirin dengan lagu Run To You, Misha masih mampu meneruskan magis Bunga-Bunga Cinta yang meletakkan dirinya sebaris penyanyi hebat negara sehingga kini.

“Adakalanya saya terasa seperti tersesat antara mereka berdua (Siti Sarah dan Noryn). Malah kali pertama tawaran ini hadir kepada saya, secara peribadi saya merasakan pihak penganjur telah salah pilih penyanyi.

“Alhamdulillah berkat sokongan dan latihan, konsert berjalan lancar,” katanya berkongsi perasaan usai tamat konsert berkenaan baru-baru ini.

Lebih enam bulan bersama-sama untuk membuat persediaan penampilan sulung mereka di Istana Budaya, Misha ditebak soalan sejauh mengenai keakraban antara mereka.

Sesi wawancara terhenti seketika apabila Misha mula menumpahkan air mata sehingga memaksa Siti Sarah dan Noryn menenangkan keadaan.

“Ini yang membuatkan saya sedih. Malah kami pernah hampir putus asa kerana ini pengalaman pertama bergabung sebagai trio dalam satu persembahan berskala besar.

“Noryn, dia mempunyai latar belakang muzik. Jadi, saya dan Sarah banyak menjadikan Noryn sebagai rujukan. Pada masa yang sama, kami mahu melakukan semuanya dengan sempurna,” katanya sambil erat menggenggam tangan Siti Sarah dan Noryn.

Pengorbanan

Menyaksikan persembahan vokal hebat Noryn menerusi lagu Un Break My Heart, ramai yang terkejut apabila diberitahu situasi sebenar kesihatan Noryn ketika itu.

Dalam keadaan kehilangan suara, Noryn memerah setiap keringat yang ada untuk memastikan persembahan berkenaan berjaya dilestarikan.

Masih mampu tersenyum, Noryn menyifatkan ujiannya sebegitu merupakan lumrah sebagai anak seni.

“Saya banyak merujuk kepada pengarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat selepas menyedari keadaan vokal tidak baik. Saya belajar banyak perkara yang luar daripada lingkup seorang penyanyi semata-mata.

“Mahu atau tidak, saya harus lalui keadaan ini. Saya reda dengan ketentuan Tuhan dan persembahan harus diteruskan,” tegasnya.

Konsert Soul Sisters berlangsung selama dua jam melibatkan 33 lagu solo dan medley yang dibahagikan kepada beberapa segmen.

Antara lagu yang didendangkan dalam konsert anjuran Edd Razhe Entertainment tersebut adalah Lady Marmalade, Cinta Adam & Hawa, Fantasi O Realiti dan Jangan Kau Mimpi. Trio berkenaan turut menyampaikan lagu seperti Mulanya Di Sini, Kali Pertama, Akhirnya Kini Pasti, Getaran dan Khayalan.

Diketuai oleh Datuk Nasser Abu Kassim dan Sze Wan sebagai pengarah muzik, pentas Soul Sisters juga gamat menerusi segmen ‘empowering soul’ melibatkan lagu seperti I Will Survive, Survivor dan Respect.

Sebagai penganjurnya, Edd Razhe turut meluahkan rasa bangga terhadap tiga penyanyi pilihannya. Dia juga lega dan menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu kejayaan besar buat Misha, Sarah dan Noryn kerana merealisasikan konsep sebuah konsert sebagaimana diimpikan.

Ditanya tentang perancangan meneruskan konsert berkenaan pada masa depan, Edd berkata, biarpun telah ada catatan cemerlang, perkara tersebut tetap memerlukan perbincangan rapi.

“Saya bangga dapat bekerjasama dengan tiga penyanyi terbaik negara. Sudah tentu kami ingin membawa jenama Soul Sisters sekiranya mendapat permintaan.

“Namun begitu memandangkan setiap artis bergerak secara solo, perbincangan lanjut perlu dilakukan,” jelasnya.



Post a Comment

Previous Post Next Post