Nur 2 tak sensitif, Raja Atiq mohon maaf silap baca ayat Al-Quran




Raja Atiq mengakui lalai hingga berlaku kesilapan dalam bacaan ayat Al-Quran.

Pengarah drama Nur 2, Shahrulezad Mohameddin mengakui terdapat kesilapan bacaan Al-Quran pada episod pertama drama popular Nur 2 yang bersiaran pada Selasa malam.

Shahrulezad melalui laman Instagramnya berkata, sebagai pengarah, dia perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan itu.

“Baru episod pertama, saya dah terbuat silap.

“Apa-apa hal saya ambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang tak sepatutnya berlaku. Sebagai pengarah saya mengambil tanggungjawab ini,” katanya.

Isu itu mula menjadi bualan selepas ia dimuat naik salah seorang pengguna Twitter dengan tweethandle @Afifi Hassan yang menyedari kesilapan bacaan yang dipaparkan dalam drama itu.

Afifi berkata terdapat beberapa kesilapan yang jelas dalam petikan bacaan dari surah Ali-Imran ayat 96 hingga 99.



Paparan skrin daripada Twitter mengenai teguran terhadap kesilapan bacaan Al-Quran dalam episod pertaman Nur 2.

Selain itu, Shahrulezad yang mengakui dirinya tidak memiliki ilmu agama yang tinggi sedar hal yang melibatkan agama perlu diteliti bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan penonton.

“Ayat Al-Quran bukan sesuatu yang boleh dibuat main. Silap sebutan jadi lain maksudnya.

“Esok bakal ditanya nanti. Takutnya. Dah la amalan saya tak banyak mana,” ujarnya.

Sementara itu pelakon Nur 2, Raja Atiqullah turut tampil memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakannya itu.

"Minta maaf atas segala kesalahan yang saya lakukan, terima kasih kepada siapa yang menegur.

"Memang betul ayat Al-Quran kita tidak boleh silap baca, takut lari maksud. Atiq terlalu yakin dengan bacaan sampaikan salah baca. Maaf kerana tidak sengaja," katanya menerusi komen di Instagram.

Tambah Atiq lagi, kesilapan yang dilakukan itu banyak memberi pengajaran kepadanya.

"Atiq takut Allah tidak ampunkan sekiranya berdiam diri. Manusia tak pernah lari daripada kesilapan.

"Kami akan buat recording baru, Atiq nak perbetulkan bacaan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post