Nazim Othman gembira untuk Bella Daly




Mengakui sedikit terkesan melihat Bella melangsungkan perkahwinan, Nazim bagaimanapun mendoakan kebahagiaan bekas isterinya itu.

Sewaktu mantan isterinya, dramatis Bella Daly melangsungkan perkahwinan pada Ahad lalu, pelakon dan penyanyi, Nazim Othman mengakui berasa sedikit terkesan.

Menurut lelaki berusia 35 tahun itu, dia gembira apabila mendapat tahu bahawa Bella telah bertemu dengan belahan jiwanya.

Cuma, perasaan kurang senang tersebut timbul apabila Nazim menyedari kesilapan dan kekurangan dirinya sehingga gagal menyelamatkan perkahwinan mereka yang dibina sekitar dua tahun lepas.

Bagaimanpun, Nazim yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Cerita Kita di Flora Terrace, Kuala Lumpur kelmarin menjelaskan, dia tidak boleh terus menyalahkan diri sendiri memandangkan perceraian yang berlaku pada 2 Mei tahun lalu adalah berpunca daripada pilihan rasional kedua-dua pihak.

Dalam masa sama, Nazim turut menyangkal dakwaan bahawa lagu Cerita Kita ciptaan Audi Mok dan Omar K yang dilancarkan sehari selepas Bella mendirikan rumah tangga itu adalah berkisarkan tentang kisah hidupnya selepas dia bercerai dengan bekas isteri.

Bagaimanakah penerimaan Nazim apabila melihat bekas isteri, Bella Daly selamat melangsungkan perkahwinan?

NAZIM: Sejujurnya, saya gembira dengan Bella dan sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya. Namun, dalam masa sama, saya berasa sedikit terkesan apabila mengimbau kembali saat saya tidak mampu mempertahankan perkahwinan kami. Saya tahu saya seorang yang kuat, tetapi kenapa ketika itu saya tidak boleh teruskan perkahwinan? Saya berasa ralat dengan diri sendiri.

Apakah reaksi anda pada hari perkahwinan Bella?

Ramai yang tidak tahu tentang perkara ini. Saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menunjukkan perasaan sebenar. Malah, saya sendiri tidak memberi sebarang ucapan dalam media sosial. Cukup orang tahu saya mendoakan kebahagiaan buatnya dan saya pernah luahkan perkara tersebut kepadanya secara berdepan.

Adakah anda menerima undangan untuk menghadiri majlis perkahwinannya tempoh hari?

Saya ada menerima undangan secara gurauan. Andai kata saya menerima undangan secara rasmi daripada Bella sekalipun, demi menghormati keluarganya adalah tidak wajar untuk saya untuk menghadirkan diri.

Bella telah selamat menamatkan zaman jandanya. Adakah anda akan mengakhiri zaman duda dalam masa terdekat?

Buat masa ini, saya belum bersedia untuk berkenalan dengan mana-mana wanita atau menanti jodoh. Bagi mengisi banyak masa terluang, saya mahu memberi fokus terhadap kerjaya lakonan.

Tindakan anda melancarkan lagu sehari selepas Bella melangsungkan perkahwinan menimbulkan spekulasi. Benarkah lagu Cerita Kita berkisarkan tentang kisah anda dan Bella sebelum serta selepas perceraian?

Lirik dalam lagu Cerita Kita tidak ada kena-mengena dengan kisah hidup kami. Tambahan pula, lagu ini telah dirakamkan beberapa tahun lalu ketika kami masih bergelar suami isteri.

Berkenaan dengan tarikh pelancaran lagu, saya memang mahukan Flora Terrace sebagai lokasi kerana tempat ini selari dengan tema lagu.

Disebabkan jadual kerja yang padat, kekosongan untuk menganjurkan majlis di Flora Terrace hanya ada pada 1 April 2019. Tarikh ini adalah kebetulan sahaja. Jadi, sebarang andaian yang diberikan adalah spekulasi semata-mata.

Apakah yang akan dilakukan jika terdapat pihak yang mengkritik nyanyian anda?

Saya merupakan seorang individu yang setia dengan impian. Disebabkan itu, saya tetap akan melakukan perkara yang disukai. Soal kritikan, saya menerimanya dengan hati terbuka. Jika saya tidak terima kritikan, saya tidak boleh memperbaiki kelemahan diri.

Post a Comment

Previous Post Next Post