Fizz Fairuz Saya bagi tempoh sampai malam ini




Pelakon, Datuk Fizz Fairuz, 40, memberi masa kepada pengendali akaun Instagram @makcikpuaka agar membuat permohonan maaf kepadanya secara lisan dan berdepan sehingga tengah malam ini jika mahu identitinya terus dirahsiakan.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin, berkata permohonan maaf yang dibuat oleh akaun Instagram itu sebelum ini tidak memadai dengan tuduhan fitnah yang dibuat terhadapnya.

“Memang akaun tersebut ada membuat permohonan maaf menerusi Instastory minggu lalu tetapi saya sudah nyatakan, mahu secara lisan atau bertemu secara empat mata.

“Tidak kisah kalau dia buat secara peribadi tetapi saya mahu dengar sendiri dia minta maaf. Dia boleh telefon atau datang jumpa saya, janji sebelum tengah malam ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Star Vendors 2019 di Pusat Dagangan Putra Antarabangsa sebentar tadi.

Tambah pelakon Mat Tudung itu, jika permintaannya tidak dipenuhi, dia akan mengadakan sidang akhbar pada 16 April(Selasa) bagi mendedahkan identiti individu di sebalik akaun @makcikpuaka

“Saya kalau boleh tidak mahu membuka aib sesiapa jadi saya masih bagi peluang untuk individu itu minta maaf secara peribadi.

“Jika dia enggan, saya tidak akan bertolak ansur lagi selepas ini,” tegasnya.

Terdahulu, akaun menyebarkan fitnah apabila menggambarkan lelaki bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini sebagai Fizz Fairuz.

Post a Comment

Previous Post Next Post