Fazley Yaakob tidak pernah mungkir janji




Menjadi seorang bapa dan pada masa sama mempunyai kerjaya untuk diuruskan bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah untuk dipikul oleh mana-mana individiu.

Perkara sama turut dihadapi oleh penyanyi dan cef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob yang turut berdepan kekangan menghabiskan masa dengan empat orang anaknya iaitu Ahmad Fariedz Shah,11, Ahmad Fieradz Shah,10, Ahmad Fierudz Shah, 8 dan Alayna Selma, 2, hasil perkahwinan dengan isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz.

Namun begitu, Fazley tidak pernah menjadikan kesibukan kerja sebagai alasan untuk tidak menepati janji yang dibuat. Sebagai bapa, beliau sentiasa berusaha sehabis mungkin untuk bersama keluarga walaupun untuk jangka masa singkat.

Baru-baru ini, pelantun lagu Asmara Ini itu memuat naik video yang menunjukkan kegigihannya meredah hutan pada waktu malam semata-mata mahu mencuri masa bersama anak-anak sebagai motivasi bagi ibu bapa muda di luar sana untuk melakukan perkara sama.

KOSMO!: Apakah sebenarnya yang berlaku saat anda mengambil keputusan meredah hutan bagi bertemu anak-anak?

FAZLEY: Sebenarnya saya sudah berjanji dengan anak-anak untuk bercuti bersama di pusat peranginan di Pahang sewaktu cuti sekolah baru-baru ini, tetapi apabila tiba masa untuk pergi, terdapat perubahan dalam jadual kerja yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak sampai hati untuk menghampakan perasaan anak-anak, jadi saya minta Azrene pergi dahulu bersama mereka dan saya akan menyusul kemudian. Oleh sebab itu, sebaik sahaja kerja selesai, saya nekad untuk pergi berjumpa mereka walaupun sudah larut malam.

Mengapakah anda bersungguh-sungguh memandu ke sana walaupun sudah larut malam?

Selama 11 tahun saya bergelar bapa, tidak pernah sekali pun saya mungkir janji pada anak-anak saya. Saya tahu, anak-anak akan menanti kehadiran saya pada malam itu kerana sudah diberitahu saya akan sampai juga pada hari sama. Memang tepat jangkaan saya bahawa anak-anak tidak tidur kerana menunggu saya sampai di sana. Sejujurnya, saya hanya sempat bersama mereka tiga jam, namun air muka saat anak-anak menyambut ketibaan saya membuatkan penat lelah menempuh kegelapan malam sangat berbaloi.

Bagaimanakah perkongsian anda ini diharap dapat membantu ibu bapa di luar sana?

Saya berharap mana-mana ibu bapa muda yang menonton video saya mendapat motivasi atau inspirasi untuk berusaha menepati janji kepada anak-anak serta tidak mengambil mudah apa yang sudah dijanjikan. Mungkin kita merasakan mereka masih kecil dan tidak memahami apa-apa, namun sebenarnya mereka tahu dan akan memberi kesan yang tidak baik andai kita selalu mungkir janji.

Tidakkah anda berasa perkongsian ini dianggap menunjuk-nunjuk oleh sesetengah pihak?

Saya berkongsi dengan niat yang baik, jadi saya hanya mampu berharap apa yang dikongsikan akan diterima dengan baik juga. Kita semua sentiasa dalam proses belajar jadi, tiada salahnya untuk saling membantu dalam hal keibubapaan ini. Bergelar ibu bapa bukan perkara yang mudah, tidak kira status sebagai seorang selebriti atau orang biasa.

Bagaimana pula toleransi isteri terhadap kesibukan kerja anda?

Saya bersyukur dikurniakan isteri yang sangat memahami, berdikari dan tidak pernah mengungkit. Saya berusaha keras untuk bersama Azrene dan anak-anak kerana toleransi keluarga yang tidak berkira walaupun saya hanya mempunyai masa yang singkat bersama mereka. Saya tidak mahu mengambil kesempatan atas tolak ansur ini, oleh itu walaupun sukar saya akan cuba tepati janji untuk yang tersayang.

Beralih pada kerjaya anda, boleh kongsikan perkembangan terbaharu?

Menjelang Ramadan pada bulan depan saya akan sibuk menguruskan beberapa buah restoran selaku cef eksekutif. Selain itu, saya juga bakal melancarkan single baharu berjudul Bangun Sahur dalam masa dua minggu lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post