Fasha Sandha, Aidil Aziz ke istana bahagia




Jika sudah tertulis jodoh di Luh Mahfuz, tanpa mengira status dan kisah silam pastinya bersatu juga. Itulah pengakhiran manis buat pasangan selebriti, Aidil Aziz dan Fasha Sandha yang tidak pernah menjangka cinta yang disulam selama hampir dua tahun bertitik noktah apabila mereka diijabkabulkan pada 30 Mac lalu pada sebuah majlis pernikahan di Perlis.

Kelmarin, jauh dari hiruk-pikuk kemodenan kota metropolitan Kuala Lumpur, lebih sejam pemanduan bersamaan 100 kilometer jarak perjalanan telah berlangsung majlis bertandang pengantin baru itu di kampung halaman Aidil di Rembau, Negeri Sembilan.

Bukan sahaja meriah dengan kehadiran 6,000 orang tetamu yang teruja dengan penyatuan dua jiwa itu, tetapi majlis tersebut amat menarik perhatian apabila dilangsungkan dengan menjunjung tinggi adat resam dan budaya masyarakat Negeri Sembilan. Selain diusung menaiki tandu, dalam majlis keraian penuh tradisi itu pasangan pengantin turut ‘mengotorkan’ kaki apabila dilihat gembira berjoget lambak bersama tetamu yang hadir.

Sekitar pukul 2.45 petang, barulah sempat pasangan itu ditemu bual pihak media yang turut hadir memeriahkan majlis.

Dari riak wajah, Fasha dan Aidil tampak sedikit kepenatan, tetapi yang jelas restu yang diterima pasangan ini daripada banyak pihak termasuk keluarga dan peminat membuatkan mereka masih mampu tersenyum saat sesi ditemu bual dijalankan.

“Alhamdulillah, syukur kedua-dua majlis iaitu di Perlis dan di Rembau berjalan dengan lancar.

“Di Perlis hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat sahaja. Bagaimanapun di Rembau terbuka untuk orang ramai termasuk peminat yang tidak henti-henti mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kami berdua,” ujar Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 35, membuka bicara.

Berbicara mengenai konsep tradisional yang dipilih untuk majlis di Rembau terang Aidil, 32, dia dan isterinya bersepakat berasakan konsep tersebut sesuai dengan persekitaran berlangsungnya majlis iaitu di Kampung Tanah Datar Gadong, Rembau.

“Saya dan isteri bersetuju untuk mengadakan majlis bertandang dengan konsep tradisional sebab lokasinya di kampung. Di Perlis tempoh hari sudah mengetengahkan konsep moden,” jelas Aidil.

Kehidupan baharu

Biarpun majlis bertandang dibanjiri sekitar 6,000 orang tetamu, mereka bersyukur kerana majlis tersebut berjalan lancar.

“Jemputan hanya sekitar 3,000 sahaja, tetapi memang kami sudah jangka yang datang akan adalah dalam lingkungan 5,000 hingga 6,000 orang. Alhamdulillah, paling penting semua tetamu dapat makan dan makanan mencukupi.

“Saya tidak kisah jika tetamu balik tanpa sempat swafoto dengan pengantin, tetapi jangan sampai tidak sempat menjamah makanan,” ujar Fasha.

Dalam pada itu, disuakan pertanyaan tentang suasana rumah tangga yang baru memasuki usia kurang dua minggu, Fasha dengan ringkas berkata: “Saya berasa sangai istimewa dan tersangat dihargai.

“Bersyukur kepada Allah kerana bukakan hati saya untuk menerima seorang lelaki yang cukup baik buat diri ini.”

Bagi pemilik nama lengkap Mohd. Aidil Abdul Aziz pula, isterinya banyak memberi tunjuk ajar untuk mendepani perihal berkaitan rumah tangga yang baru sahaja terbina.

“Sudah tentu isteri banyak membantu kerana dia sudah memiliki pengalaman berumah tangga sebelum ini. Saya pula tiada pengalaman kerana bujang.

“Apapun, saya akan cuba yang terbaik untuk keluarga ini. Membahagiakan isteri dan anak-anak, itu yang paling penting buat masa sekarang,” tutur Aidil.

Fasha yang setia di sebelah suaminya kelihatan cukup anggun menggayakan kurung moden kontemporari lengkap dengan pelapik dada adaptasi busana tradisional Negeri Sembilan. Diserikan lagi dengan aksesori gandik dan cucuk sanggul di kepala sebagai pelengkap gaya, Fasha hanya tersenyum manis saat mendengar azam Aidil buat keluarga mereka.

Bulan madu

Meneruskan perbualan sementelah diusik tentang hal perancangan keluarga. Aidil berkata, jika boleh dia mahukan anak secepat yang mungkin, namun menyerahkan kurniaan rezeki itu kepada Allah.

“Jika boleh, saya inginkan zuriat secepat yang mungkin (ketawa).Menjadi impian buat saya untuk menimang sekurang-kurangnya tiga orang,” ungkap Aidil sambil menjeling manja kepada Fasha yang berada di sebelahnya.

Tersipu malu sambil mengukir senyuman, Fasha dengan sopan menjawab ringkas: “Insya-Allah, boleh.”

Sudah berbulan madu di Pulau Langkawi, Kedah sebaik sahaja selesai majlis di Perlis minggu lalu, Aidil dan Fasha merancang untuk berbulan madu buat kali kedua sekitar pertengahan bulan Ramadan nanti.

“Kami sempat berbulan madu di Pulau Langkawi selama tiga hari selepas majlis di Perlis tempoh hari.

“Insya-Allah jika ada kelapangan sekitar pertengahan bulan Ramadan berkemungkinan besar kami akan bercuti selama seminggu. Bagaimanapun kami belum menetapkan lagi lokasi untuk berbulan madu,” ujar Fasha.

Dalam pada itu Fasha bersyukur dua anaknya, Putra Rayfal Ramli, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5, menerima baik perkahwinan tersebut dan telah memanggil Aidil dengan gelaran ayah.

“Anak-anak sudah mula panggil Aidil dengan gelaran ayah dan saya pasti ia sesuatu yang sangat bermakna bukan sahaja buat saya, tetapi juga suami.”

Bagaimanapun satu hal yang menarik perhatian adalah penerimaan baik terhadap perkahwinan ini yang ditunjukkan secara terang-terangan oleh bekas suami Fasha Rizal Ashram atau Jejai menerusi ucapan dalam Instagram.

Menjawab mengenai perkara tersebut kata Aidil: “Amanah Jejai supaya saya menjaga anak-anaknya dengan baik akan cuba ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Doakan yang terbaik buat kami. Insya-Allah,” kata Aidil menutup perbualan.

Selamat pengantin baharu buat Aidil dan Fasha, semoga jodoh kalian sampai ke syurga.

Sama cantik, sama padan, pasangan selebriti Fasha dan Aidil diraikan pada majlis bertandang yang cukup meriah dan penuh adat di hadapan 6,000 orang tetamu di Rembau, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post