Ditipu, tiada tawaran, Fatin Husna murung




Fatin mengalami kemurungan selepas lima bulan tiada tawaran pentas sedangkan nyanyian adalah punca pendapatan utamanya.

Penyanyi Fatin Husna mengaku mengalami kemurungan selepas lima bulan dia langsung tidak menerima tawaran melakukan persembahan pentas. Disebabkan itu juga, Fatin pernah berputus asa dan terfikir untuk meninggalkan bidang nyanyian demi meneruskan kelangsungan hidup.

Menurut Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Husna Ibrahim, ketiadaan tawaran menyanyi memaksanya mencari rezeki dengan menjual makanan menerusi khidmat penghantaran.

Cerita pelantun lagu Kau Berubah itu lagi, dia turut pernah ditipu penganjur pada penghujung tahun lalu. Katanya, disebabkan ditipu penganjur berkenaan, dia terpaksa menolak beberapa tawaran nyanyian lain.

Bakal muncul dengan single terbaharu sekitar bulan puasa nanti, Fatin akan mengadakan persembahan bersempena Ramadan di The Garden Palace, D’Saji, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam, 29 April ini.

Selain Fatin, penyanyi Roy Rauzan, Bimasakti, Salamiah Hassan, Atilia Haron, Amir Ukays dan Kool juga bakal membuat persembahan dari 20 April hingga 2 Mei depan.

Kosmo!: Apakah yang berlaku kepada anda kerana begitu lama menyepi daripada dunia hiburan?

Fatin Husna: Sebenarnya, sudah empat hingga lima bulan saya tiada langsung tawaran nyanyian. Hal itu bermula apabila saya ditipu oleh seorang penganjur untuk mengadakan persembahan di Perak hujung tahun lalu. Disebabkan ingin memenuhi tuntutan persembahan itu, saya menolak beberapa tawaran menyanyi lain. Sejak itu, saya murung dan lebih suka memencilkan diri di rumah.

Jadi bagaimanakah dengan punca pendapatan anda sepanjang tempoh tersebut?

Saya ada menjalan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual makanan menerusi khidmat penghantaran. Saya sediakan sendiri makanan seperti kek, biskut dan ayam goreng pedas. Saya juga melakukan penghantaran sendiri dengan menunggang motosikal sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Alhamdulillah, rezeki masih ada kalau kita sendiri rajin berusaha. Lagipun, saya anak sulung dalam keluarga dan tanggungjawab sangat besar. Saya tidak mahu sudah besar panjang namun, masih bergantung dengan ibu bapa.

Maaf bertanya, adakah anda mengalami kemurungan hanya kerana tiada tawaran nyanyian?

Banyak kali saya berasa ingin mengundur diri daripada bidang nyanyian, namun saya kuatkan hati. Jalan ini saya pilih untuk menampung kehidupan, jadi harus teruskan. Perasaan murung itu timbul kerana tiada tawaran pentas sedangkan nyanyian adalah punca pendapatan utama saya. Saya juga rasakan bidang nyanyian bukan pilihan yang tepat kerana ramai masih tertanya-tanya siapakah saya, namun saya tidak mudah patah semangat. Saya akan terus berjuang sehinggalah berjaya seperti kawan-kawan seperjuangan lain.

Apakah pendapat anda apabila terdapat dakwaan bahawa anda sukar diterima peminat kerana membawa imej yang terlalu kekampungan?

Memang betul, saya akui masih lemah tentang fesyen atau imej. Buat masa sekarang, soal imej atau fesyen semua diuruskan sendiri. Saya tiada masalah jika orang sifatkan saya sebagai penyanyi berimej kampung. Bagaimanapun, dari semasa ke semasa saya mencuba yang terbaik untuk memperbaiki kelemahan diri terutama dari segi fesyen. Namun, saya tidak mahu hilang jati diri sendiri dengan terlalu mencuba menukar gaya yang bukan diri saya.

Anda masih kurang dikenali berbanding rakan seperjuangan lain, mungkin kurang pendedahan. Apa komen anda?

Saya akan cuba menyertai Big Stage 2 untuk mendapatkan lebih pengalaman dan pendedahan. Sebelum ini saya ada cuba uji bakat untuk musim pertama, namun tidak berjaya. Mungkin kurang pengalaman dan keyakinan diri. Saya berharap diberi peluang agar dapat menonjolkan diri dalam industri muzik tanah air.

Boleh kongsikan sedikit tentang persembahan anda bersempena Ramadan di The Garden Palace, D’Saji, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 29 April ini?

Alhamdulillah, ini rezeki saya walaupun ramai mempersoalkan mengapa saya seorang sahaja golongan Budak Baru Nak Up (BBNU) dipilih dalam persembahan yang dimonopoli artis-artis senior. Rezeki tidak patut tolak memandangkan sebelum ini saya langsung tiada tawaran nyanyian. Dalam pada itu, saya bakal muncul dengan single terbaharu sekitar Ramadan nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post