Aiman Tino mahu bersemuka dengan pemfitnah




Enggan maruah diri dan keluarga terus diaibkan berhubung penyebaran dua buah video bogel mirip dirinya, penyanyi Aiman Tino mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor pada pukul 11 malam, Selasa lalu.

Menurut Aiman atau nama sebenarnya, Mohamad Aiman Yusri, 20, demi membersihkan namanya dia bersedia untuk mengheret penyebar video berkenaan ke mahkamah.

Terdahulu sekitar sebulan lalu, nama Aiman menjadi sebutan apabila tersebarnya sebuah video bogel seorang lelaki miripnya dalam media sosial. Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan melakukan beberapa aksi mengghairahkan di hadapan kamera sambil bahagian kemaluannya ditutup dengan pelekat grafik.

Biarpun video berkenaan menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat, Aiman mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan hanya memuat naik satu kenyataan di Instagramnya iaitu dia bakal mengambil tindakan jika isu tersebut berlarutan.

Belum pun reda isu berkenaan, nama Aiman kembali panas apabila sebuah rakaman video terbaharu miripnya tersebar pada Ahad lalu.

Kali ini, video yang dipercayai bahagian pertama sebelum rakaman terdahulu tular menampilkan lelaki yang sama menanggalkan pakaian di hadapan kamera.

Aiman ketika ditemui pada sidang akhbar Bazaar Raya Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini menafikan individu dalam kedua-dua video berkenaan adalah dirinya.

Tegas penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika fitnah tersebut berlarutan.

Tambah Aiman, dia juga mahu bersemuka dengan penyebar video berkenaan dan ingin bertanya jika penyebar video itu mempunyai sebarang masalah dengannya.

Sejak tersebarnya video yang dikatakan mirip Aiman sekitar sebulan lalu, bagaimanakah perjalanan karier muzik anda?

AIMAN: Karier nyanyian berjalan seperti biasa. Bagi saya, isu-isu sebegini normal dalam industri hiburan kerana tidak semua orang suka dengan saya. Sebagai seorang penyanyi saya harus hadapinya secara profesional.

Bagaimanakah anda berdepan dengan peminat selepas isu tersebut menjadi tular?

Selepas isu tersebut menjadi bualan, saya enggan memikirkan tentang hal tersebut. Oleh itu, saya juga berharap agar orang lain turut tidak berfikir dan memanjangkan isu tersebut.

Terdapat sebuah lagi video susulan yang tular selepas video pertama. Adakah anda menyedari tentang hal tersebut?

Saya belum tengok video berkenaan. Tetapi, apa yang boleh saya katakan, netizen tidak akan pernah puas untuk mengenakan artis. Bukan saya seorang sahaja terkena, tetapi orang lain juga ada yang melalui perkara sama. Jadi, saya tidak mahu komen lanjut.

Jadi anda menafikan tuduhan berkenaan?

Ya, saya menafikan individu dalam kedua-dua video tersebut adalah saya. Perkara itu bodoh, dan saya tidak akan berbuat demikian.

Ada yang mengaitkan baju yang dipakai oleh individu itu menerusi video kedua sama dengan baju yang pernah anda pakai. Apakah respons anda mengenai tuduhan tersebut?

Kalau soal baju, ramai yang memiliki baju serupa. Hal ini kerana, saya juga sering ke butik-butik popular seperti Cotton On dan H&M.

Jika masih ada yang berterusan memfitnah, apakah tindakan anda?

Seperti yang saya katakan sebelum ini dalam Instagram, jika masih ada yang terus mengaitkan saya dengan video sebegitu, saya akan mengambil tindakan. Jika betul individu tersebut tidak berpuas hati dengan saya, mari bersemuka.

Apakah sebab anda membuat laporan polis?

Kontroversi video tersebut telah mengaibkan diri saya dan keluarga. Selain sebagai amaran kepada penyebar video dan pemfitnah saya berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes ini. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengheret penyebar video berkenaan ke mahkamah.

Beralih pada perkembangan nyanyian, apakah perancangan anda buat masa ini?

Saya masih lagi menunggu lagu-lagu daripada beberapa komposer dan berharap dapat menerbitkan lagu yang lebih segar serta moden untuk peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post