Pelakon Sherry Ibrahim menegaskan dia tidak mempunyai kaitan lagi dengan jenama produk kosmetik Deeja.
Sherry berkata, sehingga kini dia masih menerima pelbagai pertanyaan dan mesej peribadi berkaitan produk terbabit di laman sosial.
"Orang masih bertanya tentang produk tersebut dan mungkin mereka tidak tahu saya sudah menjual semua saham dan sekarang ia diuruskan oleh pihak lain.
"Saya tidak lagi bertanggungjawab untuk bercakap tentang produk itu. Mereka boleh bertanya kepada pihak lain," ujarnya kepada mStar Online.
Sherry minta tidak dikaitkan dengan produk kosmetik Deeja.
Sherry ditemui pada majlis makan malam Alha Alfa yang diadakan di Hotel Majestic baru-baru ini.
Pelakon tersebut sebelum ini memuat naik foto yang menjelaskan dia bukan duta kepada mana-mana produk kecantikan.
Dalam pada itu, Sherry berkata, dia meminta maaf tidak dapat menjawab satu persatu pertanyaan netizen berkaitan produk tersebut berikutan ia bukan tanggungjawabnya.
Sherry berkata, dia kini tiada halangan untuk mempromosikan sebarang produk kecantikan lain di laman sosialnya.
"Saya akui produk sebelum ini memberi impak kepada nama saya. Sejujurnya saya rasa usaha saya itu berbaloi.
"Tapi kini saya sudah bebas dan boleh mempromosikan produk lain," ujarnya.