Berbaju putih polos dipadankan dengan denim biru, Raysha Rizrose, 22, sebenarnya cukup sederhana orangnya. Namun, lenggok tersendiri yang dimilikinya yang membezakan dirinya dengan dua orang kakaknya yang terlebih dahulu mencipta nama dalam industri hiburan tanah air, Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose.
Biar berbeza rentak dan fasa karier lakonan dengan Uqasha dan Nelydia, putaran masa yang dilalui menemukan Raysha pada suatu titik pesona.
Selepas kemenangannya dalam pertandingan Dewi Remaja edisi 2014/2015 mengalahkan Mawar Rashid, pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu dihujani ‘peluru’ tawaran lakonan.
Ironi, dia kerap disogokkan dengan watak gadis kampung, bertudung yang naif. Pertama kali adalah menerusi drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin sebelum diikuti naskhah Zahir Tak Terucap.
Dua kali membawa watak gadis kampung dan bertudung, Raysha sekali lagi dengan penuh takzim menerima tawaran sama buat kali ketiga menerusi drama Dia Menantu Rahsia, bergandingan dengan Ashraf Muslim.
Watak askar
Hakikatnya, Raysha mengakui meletakkan banyak sisi yang harus diperhitungkan sebelum berkata ‘ya’ pada sesuatu naskhah.
“Saya pilih untuk terima tawaran yang hadir, namun itu tidak bermakna saya tidak selektif. Kalau ikutkan banyak tawaran dengan karakter serupa, tetapi saya pilih yang terbaik walaupun wataknya masih dilihat tidak lari dengan yang sebelum ini.
“Apabila saya terima tawaran tersebut, saya akan tumpahkan seluruh tenaga untuk menjayakan karakter berkenaan,” ujar Raysha yang mengakui tidak lelah dengan watak kampung dan bertudung, namun mengharapkan watak berbeza selepas ini.
Mengakui masih ‘hijau’ dalam bidang lakonan berbanding Uqasha dan Nelydia, Raysha berharap penerbit drama dapat melihat kemampuannya dalam menjayakan watak lasak pula.
“Sejujurnya, kalau diberi peluang menjayakan watak aksi dan lasak seperti askar, saya sangat gembira. Saya tidak kisah andai perlu bermain dengan lumpur dan sebagainya,” ujar anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Penyanyi
Sedar ramai yang masih membandingkan dirinya dengan kakak-kakaknya, Raysha memberi sekilas pandangan peribadi.
Dari matanya jelas ketidakselesaan apabila acap kali dibandingkan dengan Uqasha dan Nelydia.
“Memang ramai yang bandingkan diri saya dengan Uqasha dan Nelydia. Sedangkan, usia penglibatan saya dalam bidang seni masih baharu berbanding kakak-kakak saya. Memang saya akui perbandingan itu ada negatif dan positifnya. Apa-apapun, saya tidak mahu bersaing, cuma mahu corakkan karier seni ke arah yang lebih membanggakan,” lontarnya.
Selepas menjadi pelakon selama empat tahun, Raysha mula memikirkan apa lagi corak kelangsungan hidupnya sebagai anak seni. Itu antara penyebab dia tekad untuk bergelar penyanyi pada tahun ini.
“Terpulang bagaimana jalan yang diambil seseorang artis itu dalam bidang seni. Ada yang fokus berlakon sahaja. tetapi saya berazam untuk mencuba sesuatu yang baharu pada tahun ini. Salah satu daripadanya adalah bidang nyanyian. Jika ada yang menganggap saya sekadar ‘feeling’ (berangan) mahu menyanyi pula, sejujurnya sejak zaman Dewi Remaja lagi saya minat menyanyi. Cuma, tawaran berlakon datang terlebih dahulu dan rugi kiranya kalau saya menolaknya,” ujarnya yang mahu serius menjadi penyanyi pada tahun ini dan akan memasuki kelas vokal tak lama lagi.
Bertudung
Kerap melunaskan watak wanita bertudung, Raysha turut tidak terlepas diminta bertudung oleh netizen dan peminatnya. Bahkan, ramai memuji kecantikannya tatkala bertudung sewaktu mengerjakan umrah baru-baru ini.
“Saya terharu dengan pujian mereka, tetapi saya tak mahu bertudung disebabkan orang cakap saya cantik bertudung. Saya tak nak niat memakai tudung disebabkan orang. Memang kalau saya nak terus pakai tudung esok pun boleh, tetapi bolehkah saya terus istiqamah sebab niat saya itu salah. Saya mohon doakan yang baik. Apabila sudah sampai masanya saya sudah bersedia dan dibukakan pintu hati daripada Allah, saya akan bertudung,” ujarnya yang jarang dihimpit kontroversi berbanding kakak-kakaknya.
Secara jujurnya, Raysha mengakui tidak suka orang lain bercakap tentang dirinya. Maka, disebabkan itu seboleh-bolehnya dia akan sedaya upaya tidak melakukan perkara yang boleh menyebabkan namanya dihimpit kontroversi.
Soal sebelum ini dia pernah hangat dengan isu memuat naik gambar seksi sehingga mengundang kecaman netizen di Instagram, Raysha anggap itu khilafnya dan tidak berniat untuk mencetuskan sebarang provokasi dan kontroversi.
“Apabila ada gosip negatif tentang saya, saya akan berdiam diri. Hal ini kerana, kalau saya melayan, hal itu akan menjadi lebih besar. Jadi, lebih baik saya diamkan diri dan padam komen-komen negatif itu,” luahnya yang mengakui masih berkawan dengan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, namun masih belum ada sebarang sasaran untuk berkahwin.