Ramai ingin jadi imam Nonny Nadirah




Menggalas status janda, perasaannya bukannya seperti menyarung gembira mahkota ratu cantik di kepala atau semudah melontar dogma kata yang menusuk jiwa.

Ironi, perasaannya bagaikan membasuh luka di hati yang darahnya tak berhenti-henti mengalir.

Entah di mana silapnya, jauh sekali wujudnya orang ketiga dalam hubungan Nonny Nadirah dan bekas suaminya, Mustain Adnan, 37, namun ikatan perkahwinan yang belum sampai setahun jagung itu hancur berkecai menyembah bumi.

Hakikatnya, kedua-dua mereka pernah bergumpal-gumpal dengan perasaan cinta dan sayang antara satu sama lain.

“Siapa yang mahu dilabel dengan gelaran janda? Sebenarnya saya masih lagi tidak percaya sudah berstatus janda pada usia 30 tahun. Memang rasa janggal apatah lagi dilabel dengan gelaran tersebut. Tetapi itu lah kenyataannya,” ujar Nonny optimis menyimpul aksara kata.

Cuma, tanpa disangka ada peminat menyua Nonny dengan gelaran janda paling hot, usai Fasha Sandha memilih Aidil Aziz sebagai bakal suaminya tak lama lagi.

“Janganlah memanggil saya begitu (janda hot). Apa yang paling penting sekarang adalah fasa untuk saya perbaiki diri. Lagipun saya tidaklah hot mana. Manis itu mungkin ada. Rasa lebih molek jika digelar janda manis,” ungkap pelakon berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu sambil melepaskan tawa besar membelah hening studio pada petang itu.

Semakin cantik selepas berhijab, menyarung pula status solo di kala ini membuatkan pelakon berkulit putih itu menjadi dambaan ramai lelaki termasuk golongan kenamaan (VIP) dan juga artis.

“Selepas bercerai, ramai pula yang DM (mesej terus) di Instagram mahu menjadi ‘imam’ saya, termasuk dalam kalangan artis dan VIP. Namun, buat masa sekarang saya tak mahu fikir pasal jodoh. Bukan serik, bukan juga trauma, tetapi saya mahu masa bersendirian. Hakikatnya, saya dan bekas suami sudah berusaha untuk mempertahankan rumah tangga kami,” ulasnya tatkala ditebak soalan jodoh .

Sihir

Karamnya mahligai perkahwinan yang dibina atas dasar cinta selama sembilan tahun itu juga bukannya mimpi ngeri yang hilang tatkala bangkit daripada lena, juga bukan kelana yang mudah untuk dilupakan dengan sekelip mata, namun Nonny percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Pasti ada sebab atas apa yang berlaku. Mungkin ini caranya untuk saya lebih mendekatkan diri dengan Allah,” luahnya yang mengambil keputusan bertudung selepas kembali daripada menunaikan umrah pada pertengahan Januari lalu.

Hakikatnya, keluarga dan teman rapat Nonny sendiri tidak percaya perkahwinan yang dibina atas dasar anyaman cinta selama sembilan tahun itu terkandas di pertengahan jalan. Pendek kata, ada pihak lain yang tidak senang dengan kehidupannya.

Bagaimanapun, tidak perlu dia dan pasangan mencari asbab lain, selain menganggap jodoh mereka tidak berpanjangan dan memberi masa untuk kedua-duanya memperbaiki diri.

“Sejujurnya, keluarga merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkahwinan kami. Sebab mereka tahu hubungan kami memang sangat manis. Bahkan kawan-kawan juga tahu saya sangat menyintainya dan tak boleh berpisah dengannya. Keluarga ada menyuruh saya bertemu dengan ustaz memandangkan sebelum berkahwin saya pernah mengalami sakit disihir orang sekitar 2015. “Namun, saya cuma anggap jodoh kami sampai di situ sahaja. Lagipun kami sudah bercerai pun,” ujar pelakon dan penyanyi yang digilap bakatnya daripada program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu dengan wajah sugul.

Fokus menyanyi

Biar rentak seninya bermula cemerlang di bidang lakonan, pelakon drama Melankolia itu kini mahu memilih haluan nyanyian pula.

“Bagi yang terlupa, saya memang bermula sebagai penyanyi. Namun rezeki lebih ke arah bidang lakonan. Cuma, dua tahun lepas saya ada menghubungi komposer Fynn Jamal untuk meminta menghasilkan lagu.

“Pada asalnya, lagu berjudul Runtuh itu ditujukan untuk arwah bapa saya yang meninggal pada Disember 2015. Namun, tatkala berkongsi lagu berkenaan di Instagram baru-baru ini, ramai pula yang kata lagu itu menceritakan kisah keruntuhan rumah tangga saya,” ulas Nonny yang mengakui sangat menyukai lagu berkenaan dan bersyukur kerana Fynn menghasilkan lagu tersebut untuknya.

Meskipun bakal sibuk mempromosikan lagu berkenaan, namun tidak sekelumit timbul perasaan untuk meninggalkan bidang lakonan yang selama ini menjadi lubuk rezekinya.

Pada masa sama, Nonny juga mengakui ada menerima tawaran berlakon drama selepas dia mengenakan tudung. Cuma, masanya tidak kena kerana ketika itu dia sedang sibuk menimba ilmu perniagaan, selain sibuk dengan perkara lain.

“Walaupun sudah bertudung, saya tidak mahu meletakkan sebarang syarat kepada penerbit dan pengarah dalam bidang lakonan. Cuma, kalau boleh saya mahukan watak yang lebih sesuai dengan perubahan imej baharu ini,” jelasnya yang kali terakhir berlakon menerusi drama Cekelat Cekelat Honey.

Post a Comment

Previous Post Next Post