Putus kasih Remy Ishak




Pertunangan selama dua tahun Remy dan Ezza telah berakhir sejak sebulan lalu. Aktor itu bagaimanapun enggan menggulas lanjut soal pemulangan cincin pertunangan.

Bagai ada beban yang terbungkam dalam diri pelakon Remy Ishak untuk meluahkan apatah lagi mengakui yang dia kini sudah memutuskan tali pertunangan dengan wanita bernama Ezza Yusof.

Selepas diasak beberapa kali, pemilik nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak itu mengakui dengan hati yang berat bahawa pertunangannya dengan usahawan tersebut sudah berakhir kira-kira sebulan lalu.

Pada permulaan perbualan, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu seperti tidak rela mendedahkan status sebenar pertunangannya. Alasan diberikan, dia enggan mengeruhkan lagi keadaan kerana banyak hati yang perlu dijaga baik di pihaknya dan bekas tunang.

“Benar kami sudah putus tunang, tetapi apa yang telah berlaku bukan salahnya (Ezza) kerana dia seorang wanita yang baik.

“Keputusan ini saya buat dengan berat hati selepas menyedari saya masih belum boleh menjadi seorang lelaki untuk menjaga orang lain dan beralih ke fasa seterusnya (rumah tangga). Saya belum mampu.


“Saya tidak tahu ke mana arah hala tuju hubungan ini. Adalah lebih baik saya melepaskan Ezza kerana tidak adil untuk saya menahannya dalam perhubungan ini,” ungkap Remy, 36, ketika ditemui Kosmo! pada sidang media pelantikannya sebagai duta minuman Origina di ibu negara 
baru-baru ini.

Kesilapan

Terdahulu, Remy menerusi satu video live dalam Instagram baru-baru ini mengaku dirinya sudah kembali solo sekali gus memberi bayangan kepada orang ramai bahawa pertunangannya dengan wanita itu telah berakhir.

“Saya ingin minta maaf. Tidak patut saya cakap perkara seperti itu.

“Sebagai seorang lelaki, apabila berdepan masalah, saya harus bijak untuk tidak terlalu memikirkan perasaan saya atau apa yang sedang berlaku dalam perhubungan.

“Itu kesilapan dan kelemahan saya. Saya minta maaf waima apa yang berlaku sebenarnya dalam perhubungan sepatutnya saya simpan,” terangnya.

Mengulas lanjut, Remy mengatakan, punca putus tunang tiada kena mengena dengan orang ketiga sama ada daripada pihak dirinya mahupun Ezza sendiri.

“Tiada kena mengena dengan pihak ketiga. Saya memikirkan tentang tanggungjawab yang saya sendiri tidak mampu galas.

“Dua tahun mengikat tali pertunangan, saya masih belum mampu menjadi seorang lelaki yang boleh menjaga orang lain. Mungkin ada perkara yang lebih baik untuk pihak di sebelah sana,” katanya.

Hubungan baik

Disuakan persoalan adakah mudah buatnya untuk membuat keputusan memutuskan hubungan atau pertunangan, Remy menghela nafas panjang. Sejenak berfikir, dia berkata: “Saya sukar berkongsi soal peribadi. Ini takdir Tuhan yang saya sendiri tidak tahu mengapa terjadi.

“Saya cuba untuk tidak melepaskan hubungan, namun jodoh itu di tangan Tuhan. Dua tahun masih lagi tidak nampak arah tuju hubungan ini.”

Walaupun sudah tidak lagi bergelar tunangan kepada Ezza, Remy menegaskan, mereka berdua masih berkawan baik.

“Kami masih berkawan baik dan merupakan rakan perniagaan.

“Walaupun sudah putus tunang, kita tidak tahu perancangan Allah akan datang. Mungkin akan bertaut kembali, kita tidak tahu,” tutur Remy.

Bakal melancarkan buku berjudul Sedekad yang menceritakan tentang perjalanan seninya yang bermula sejak 2009, tegas Remy, bertunang atau terus berkahwin tidak menjadi masalah buat dirinya selepas ini.

“Bertunang atau terus berkahwin sebenarnya bukan satu isu dalam perhubungan.

“Bagi saya, perlu memikirkan soal kemampuan diri andai ingin berkahwin dengan anak orang. Orang mungkin suka saya sekarang kerana saya ialah Remy Ishak. Namun, andai selepas saya susah, adakah mereka akan tetap sukakan saya?

“Saya tidak mahu perhubungan itu atas dasar nama sahaja. Sukar untuk saya ungkapkan,” ujarnya.

Lupa kisah lalu

Ditanya sama ada dia adalah seorang lelaki yang takutkan komitmen, Remy menafikannya.

Balasnya, dia mengklasifikasikan dirinya sebagai seorang lelaki yang penuh dengan komitmen.

“Saya tekun bekerja sejak dahulu sehingga terlupa untuk menyayangi dan memikirkan tentang kasih sayang.

“Alhamdulillah, banyak rezeki yang Allah beri pada tahun 2019. Ini adalah masa untuk saya terus bangun. Saya akui sebelum ini memang tiada masa untuk ‘dating’ kerana sibuk bekerja,” tuturnya.

Sementara itu, buat Ezza, dia enggan mengenang sejarah pahit dalam hidup, sebaliknya memulakan hari baharu dengan aura positif sempena hari jadinya hujung minggu lalu.

Ezza membuka mulut selepas lima hari Remy mengumumkan ikatan pertunangan bersamanya putus.

“Alhamdulillah. Selamat hari jadi kepada saya. Mari mulakan hari dengan tenaga dan aura baharu, Insya-Allah.

“Saya akan berhenti bercerita mengenai kisah lalu dan memulakan kisah baharu, hari ini.

“Kunci untuk berubah adalah fokus kepada tenaga baharu, bukannya berjuang untuk mempertahankan kehidupan lalu. Sebaliknya, membina sesuatu yang baharu,” luahnya melalui perkongsian dalam Instagram.

Remy yang merupakan anak kelahiran Melaka mengikat tali pertunangan bersama Ezza pada Mei 2017.

Remy mengumumkan pertunangannya bersama wanita bernama Ezza Yusof telah berakhir sejak sebulan lalu dan menafikan hubungan tersebut putus kerana orang ketiga.

Post a Comment

Previous Post Next Post