Perjuangan Linda Rafar




Linda bersyukur membuat pilihan yang tepat untuk menyaman netizen kerana secara tidak langsung telah berjaya menyuntik kesedaran dalam kalangan selebriti tempatan.

Pembukaan tahun baharu bagi penyanyi Linda Rafar tidak berjalan lancar apabila dia bukan sahaja kehilangan ibu, malah berdepan saman yang memaksanya membela diri.

Bertimpa ujian yang diterima, tiada sekelumit penyesalan pada wajah Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar. Sebaliknya, wanita berusia 41 tahun itu terus bangkit meneruskan kehidupan.

Hal ini kerana Linda cukup yakin pasti ada hikmah di sebalik setiap ujian.

Reda dengan pemergian ibunda, Rasimah Abd. Rahman pada Januari lalu dan meneruskan saman terhadap netizen serta membela diri atas saman yang difailkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Deligasi Jururawat Malaysia (DON) terhadapnya, Linda nekad melalui kemelut tersebut dengan tenang.

Pada majlis pelantikannya sebagai Duta Financial Genius Group (FGG) Manulife Malaysia baru-baru ini, Linda sempat berkongsi mengenai perkembangan terkininya.

Permulaan tahun baharu anda dihujani dengan pelbagai ujian. Bagaimanakah anda menghadapi semua ujian tersebut?

Linda Rafar: Sejak kehilangan arwah ibu, kemudian berdepan pula dengan kes saman, ramai yang bertanya bagaimana saya boleh menjadi begitu kuat untuk menempuh ujian.

Alhamdulillah, selepas tiga bulan saya semakin kuat. Saya pernah melalui dua pengalaman kehilangan orang yang tersayang iaitu arwah anak (Rezaimin Keifli atau Memen) dan arwah ibu.

Kedua-dua pengalaman tersebut membuatkan saya lebih dekat dengan Allah. Setiap kali bangun pagi saya berpesan pada diri bahawa setiap insan yang disayangi dan harta yang dimiliki di dunia ini adalah milik Allah. Oleh kerana itu, saya kuat kerana sedar dunia ini hanya pinjaman.

Anda merupakan artis pertama yang memfailkan saman terhadap 100 netizen. Apakah impak yang diterima daripada tindakan saman tersebut?

Ramai golongan selebriti yang menghubungi saya. Mereka tidak pernah tahu bahawa sebagai rakyat Malaysia, artis juga mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen.

Saya bersyukur kerana membuat pilihan tepat memfailkan saman berkenaan dan berjaya menyuntik kesedaran dalam kalangan selebriti serta netizen khususnya supaya lebih berhati-hati.

Selepas tindakan saman tersebut, saya melihat netizen juga sudah berhati-hati meninggalkan komen dalam akaun media sosial milik saya. Sudah tentu perkara tersebut merupakan satu perkembangan yang positif.

Bagaimana pula status terkini saman antara anda dan DON?

Sejujurnya saya tidak mahu membuang masa untuk naik turun mahkamah. Jadi, pihak peguam secara peribadi cuba untuk bertemu dengan pihak di sana dan menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah.

Malangnya mereka tidak mahu bekerjasama. Jadi, saya tetap akan lawan.

Sementara, saman terhadap netizen pula, saya masih membuka ruang untuk mereka membuat permohonan maaf sama ada secara terbuka atau Direct Message (DM).

Selepas kehilangan ibu, anda kelihatan kuat meneruskan kehidupan. Bagaimana pula dengan ahli keluarga yang lain?

Saya puas menjaga ibu sepanjang arwah uzur sehinggalah meninggal dunia. Seperti mana saya berada di sisi arwah Memen kira-kira lima tahun lalu, begitu juga saya setia di sisi arwah ibu sehingga nafas terakhir.

Saya begitu sedih ketika kedua-dua mereka pergi, tetapi dalam masa sama berasa puas kerana telah berbakti sebaiknya.

Adik-beradik saya yang lain masih dalam tempoh pemulihan. Mereka sangat menyayangi ibu dan cuba untuk mencari kekuatan. Terdapat dalam kalangan ahli keluarga mendapatkan khidmat perubatan Islam untuk memulihkan semangat.

Saya faham perasaan kehilangan kerana pernah melaluinya ketika pemergian arwah Memen. Saya hanya mampu memberikan nasihat dan kata semangat kepada mereka.

Apakah peranan anda sebagai duta FGG?

FGG telah lama berada dalam pasaran sebagai sebuah syarikat pelaburan yang meningkatkan pendapatan.

Peranan saya adalah memperkenalkan produk ini bukan sahaja dalam kalangan selebriti, malah masyarakat di luar sana. Saya akan bekerjasama dengan FGG sebagai duta selama setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post