Nabil, Neelofa undur diri dari pencalonan AME 2019




Neelofa (kiri) dan Nabil secara sukarela menarik diri daripada sebarang kategori pencalonan AME 2019. Gambar fail

Pengacara program MeleTOP iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa mengambil keputusan untuk menarik diri daripada sebarang kategori pencalonan Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019).

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad ketika pengumuman pencalonan Top 5 AME 2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur sebentar tadi.

"Keputusan ini dilakukan secara sukarela oleh Nabil dan Neelofa.

"Hal ini untuk memberi peluang kepada rakan artis-artis lain dalam pencalonan. Pihak AME menghormati keputusan yang dilakukan kedua selebriti tersebut," kata Raqim.

Sementara itu, Neelofa dan Nabil komited terhadap tugas pengacaraan program MeleTOP.

"Saya dan Nabil sudah bersama MeleTOP selama enam tahun. Sudah tiba masanya untuk kami memberikan peluang dan fokus sahaja kepada pengacaraan.

"Banyak kritikan yang tidak berapa menyenangkan saya terima apabila menang sebelum ini padahal fokus saya hanya ingin mengacara," kata Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 30.

AME 2019 bakal berlangsung pada 21 April depan bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pukul 9 malam.

Undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir bagi 16 kategori boleh dilakukan menerusi laman web AME 2019 dan portal Era serta kiriman Sistem Pesanan Ringkas (SMS) bermula hari ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post