Kay Khydir Kalau tak viral siapa nak dengar lagu?




Kay Khydir tidak menafikan kehebatan kuasa 'viral'.

Penyanyi Kay Khydir menjelaskan dia perlu mengikut trend selebriti zaman kini yang melakukan sesuatu agar menjadi 'viral' untuk mempromosikan produk supaya dikenali.

Kay atau nama sebenarnya Nur Khaidir Muhd, 31, berkata dia kini masih mencari gimik yang sesuai namun memilih melakukannya dengan cara yang positif untuk lagu terbaharunya berjudul Bukan Bahagiaku.

“Sejujurnya saya memang ada perancangan untuk melakukan gimik atau nak viralkan lagu terbaru ini. Tapi masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan.

“Bagi saya, viral itu sangat penting. Kena ikut trend selebriti sekarang yang menggunakan medium itu untuk memperkenalkan sesuatu produk mereka.

“Sebab kalau tak viral, siapa yang nak dengar lagu tu. Sebab itu penting. Tapi saya tidak mahu viral yang negatif, biarlah secara positif sahaja,” kata Kay.



Kay ditemui ketika majlis pelancaran single terbaharu berjudul Bukan Bahagiaku di Red Box, The Garden Mall, Bangsar, Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Kay, dia tidak kisah namanya lambat dikenali kerana mahu mengikut jejak langkah penyanyi Shiha Zikir yang tidak pernah terpalit dengan gosip atau kontroversi negatif namun masih boleh dikenali.

“Sejujurnya saya tak kisah pun kalau nama lambat dikenali atau tak popular pun. Saya tak nak dikenali disebabkan kontroversi yang negatif.

“Saya mahu ikut cara Shiha dalam industri seni. Dia tak pernah ada gosip atau kontroversi. Walaupun lambat tapi lama kelamaan orang kenal juga,” ujarnya.

Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan itu yang dicipta pada empat tahun lalu mula dilancarkan di semua platform digital pada 10 November tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post