Forteen tiada niat sindir Izzue Islam




Fourteen tekad mengorak langkah baharu dengan kemunculan single terbaharu mereka yang berjudul, Diam Saja.

Kini hanya bertiga, Forteen terus memandang ke hadapan dengan kemunculan single terbaharu berjudul Diam Saja.

Berbunyi sinikal, dengan melodi hasil ciptaan Adam Armin dan Joseph Khan, manakala lirik ditulis sendiri oleh ahli kumpulan tersebut iaitu One, Ameer dan Ariz Lufias, justeru adakah lagu itu ditujukan kepada Izzue Islam yang kini bukan lagi ahli Forteen?

Banyak lagi persoalan yang muncul sebaik kemunculan single terbaharu Forteen itu. Adakah Forteen akan mencari pengganti Izzue?

Persoalan lain yang turut muncul ialah adakah lagu yang pernah dirakamkan bersama Izzue sebelum ini akan dilancarkan pada masa hadapan?

Ameer mewakili Forteen bagi menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan Kosmo!, yang mana dia juga turut menitipkan informasi terbaharu yang berkait dengan survival dan masa hadapan kumpulan itu yang kini bergerak tanpa Izzue selepas lapan tahun mereka bersama.

KOSMO!: Boleh ceritakan sedikit tentang single Diam Saja yang baru sahaja dilancarkan?

AMEER: Alhamdulillah, lagu Diam Saja sudah pun dilancarkan di laman YouTube rasmi Indigital pada 1 Mac lalu dan mendapat respons yang baik daripada pendengar. Melodi lagu ini adalah hasil ciptaan Adam Armin dan Joseph Khan sementara lirik oleh kami bertiga. Lagu ini berkisarkan percintaan. Contohnya, kalau bergaduh, salah seorang perlu mengalah atau mendiamkan diri. Saya rasa kebanyakan daripada kita pernah melalui perkara ini.

Bagaimana dengan lagu yang pernah dirakam bersama Izzue sebelum ini?

Lagu ini dicipta selepas pengunduran Izzue daripada Forteen. Kami memang ada perancangan untuk keluarkan single lain yang dirakam ketika bersama Izzue, namun buat masa sekarang lebih baik fokus terhadap single Diam Saja dahulu. Lagu ini untuk memperkenalkan Forteen yang sekarang bukan lagi berempat tetapi bertiga.

Bagaimana kalian mengisi kekosongan yang ditinggalkan Izzue?

Sejujurnya, sewaktu Izzue masih bersama Forteen pun, kami sudah biasa bergerak secara bertiga. Memang tidak boleh dinafikan, ketiadaan Izzue sedikit sebanyak membuatkan kami berasa kekosongan. Tetapi apa mahu buat, perjuangan harus diteruskan.

Ada perancangan untuk menambah ahli baharu menggantikan tempat Izzue dalam Forteen?

Buat masa sekarang, rasanya tidak. Secara bertiga pun kami sudah ada keserasian yang kuat, jadi sukar untuk kami terima orang baharu. Maklumlah, ingin membiasakan diri dengan perangai masing-masing lagi. Forteen sudah hampir lapan tahun. Untuk kami mencari toleransi seperti antara ahli asal Forteen rasanya memang susah. Kami ada berbincang untuk tambah ahli bagi menggantikan tempat Izzue namun setelah ditimbang dari segala aspek, rasanya lebih baik kami bertiga sahaja.

Maaf bertanya, bagaimana kalau peminat mengaitkan lagu Diam Saja sebagai sindiran buat Izzue, apa reaksi kalian?

Selepas kemelut yang berlaku antara kami sebelum ini, tidak mustahil orang akan kaitkan lagu ini dengan Izzue. Bagi kami secara peribadi, memang tiada niat untuk sindir dia atau kaitkan dengan sebarang situasi secara peribadi.

Bagaimana pula dengan kerjaya solo setiap seorang daripada kalian selepas ini?

Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain. Bagaimanapun, keutamaan kami adalah Forteen. Kerjaya solo kami tetap berjalan namun ingin saya ingatkan, Forteen tetap keutamaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post