
Selepas tampil dengan single pertama pada 2017, penyanyi nasyid As-Suhaimi, 33, kembali dengan lagu kedua yang masih berkonsepkan ‘world music’.
Penyanyi berasal dari Pahang ini mempertaruhkan lagu berjudul Ya Sayyidi yang bermaksud penghulu. Lagu berkenaan adalah kesinambungan single pertamanya, Ishfa’Lana.
Menurut Suhaimi, dia berkongsi ilmu melalui lagu yang dipersembahkan, sepertimana single pertama menceritakan mengenai apabila mati kita diterima sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Single kedua pula bercerita sebagai manusia diharap apabila di akhirat nanti, dibimbing dan segala dosa diampunkan Allah SWT.
“Single kedua sambungan cerita daripada single pertama kerana saya mahu masyarakat lebih memahami dan mengerti bahawa melalui penyampaian lagu juga kita boleh berdakwah.
“Selain berceramah kepada pelajar, lagu-lagu yang saya sampaikan diselitkan nasihat dan peringatan.
“Alhamdulillah, mungkin kurang mendapat tempat di radio tetapi mendapat maklum balas yang sangat positif di platform laman sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram,” katanya.
Mengambil masa hampir dua tahun untuk tampil dengan single kedua, Suhaimi mempunyai sebab dan alasan tersendiri.
Baginya, bukan sahaja mahu lagu dendangannya popular bahkan menjadi ingatan dan siulan pendengar sepanjang masa.
“Saya gembira apabila ramai peminat memberikan reaksi positif terhadap lagu saya dalam media sosial.
“Itu bermakna lagu berkenaan sampai kepada mereka dan dihayati.
“Secara tidak langsung berbaloi saya ambil masa dua tahun untuk hadir dengan lagu baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi juga gembira apabila single Ishfa’Lana berjaya menembusi pasaran luar negara.
Dia teruja apabila lagu berkenaan mendapat perhatian di Perth, Australia dan Maldives.
“Saya gembira dan tidak sangka lagu Ishfa’Lana berjaya sampai ke Australia dan Maldives.
“Harap single kedua ini mendapat sambutan bukan saja di dua negara itu juga diterima di serata dunia,” katanya.