
Stesen radio Hot FM mengumumkan barisan terbaharu yang mengendalikan segmen utama radio berkenaan dengan kemasukan pelawak terkenal Shuib Sepahtu berkuat kuasa hari ini.
Shuib atau nama sebenar Shahmira Muhamad akan bergandingan bersama penyampai radio sedia ada Shuk dan Fizie dalam segmen Geng Pagi Hot (GPH) yang ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi.
Hot FM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, penyampai El pula mengendalikan segmen Muzik Hot dari pukul 10 pagi hingga 4 petang manakala Deen dan Haziq akan bergandingan dalam segmen Jam Hot (4 petang hingga 8 malam).
"Zetty yang merupakan satu-satunya bunga di Hot FM akan ke udara pada sebelah malam dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam melalui segmen Mega Hot," kata kenyataan itu.
Jelas Hot FM, rombakan dilakukan sesuai dengan usia stesen radio terbabit yang kini memasuki tahun ke-13 ke udara.
Menurut Ketua Audiens Melayu, Nik NorAzura Nik Mahmood, Hot FM masih panjang evolusinya dan masih banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar dan langkah tersebut diambil untuk sentiasa tampil dengan pembaharuan dan untuk mengukuhkan jenama Hot FM dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.”
“Perubahan yang dilakukan oleh Hot FM termasuk kemasukan Shuib adalah berdasarkan kekuatan setiap penyampai yang kami percaya mereka mampu menyampaikan isi kandungan yang telah ditetapkan," jelas beliau.