Sheila Rusly Saya sudah maafkan dia tapi bagi saya masa




Hal tersebut terlalu peribadi bagi Sheila Rusly untuk dikongsi kepada orang ramai.

Enggan terlalu mempercincikan kemelut yang berlaku antaranya dengan pelakon Janna Nick, penerbit dan pelakon, Sheila Rusly bagaimanapun sudah memaafkan anak didiknya itu.

Sheila Rusly, 47, berkata, dia memerlukan masa untuk menghadam apa yang terjadi antara mereka berdua sehingga hubungan menjadi keruh.

"Alhamdulillah, dia (Janna) sudah sedar atas kesilapan dia.

"Saya sudah maafkan dia tapi bagi saya masa untuk menghadam apa yang dia sudah buat pada saya dan keluarga," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Pelakon Komedi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu, apa yang terjadi sebenarnya tiada kena mengena dengan pembikinan drama bersiri, Leftenan Zana.

"Jujur, apa yang terjadi ini tiada kena mengena dengan Leftenan Zana.

"Hal ini adalah berkenaan keluarga yang terlalu peribadi untuk saya kongsi kepada orang ramai," ujar Sheila lagi.

Semalam, Janna Nick memohon maaf secara terbuka kepada penerbit dan pelakon, Sheila Rusly serta keluarga, jika perbuatan dan kata-katanya selama ini mengguris hati.

Terdahulu, ramai menyedari keakraban Janna dan Sheila yang sering bekerjasama dalam pelbagai projek tidak lagi seperti dahulu apabila Sheila memuat naik foto mempromosikan drama bersiri, Leftenan Zana, yang turut dibintangi aktres muda itu.

“Kalau rasa nak tengok silakan. Mungkin tidak sehebat yang diharapkan dan tak semudah juga untuk sis (merujuk kepada dirinya selaku penerbit) menyiapkan kerana tak semua jasa akan dikenang,” kongsi Sheila dalam status di media sosial miliknya, baru-baru ini.

Status itu mengundang spekulasi dan biarpun penerbit terbabit tidak menyebut sebarang nama, ramai yang mengaitkannya dengan Janna Nick.

Post a Comment

Previous Post Next Post