Ramai orang suka cari kesalahan, hati-hatilah!, Ismail Izzani pesan rakan artis terpalit kontroversi



Ismail Izzani lebih berhati-hati dalam memilih kawan sejak terpalit dengan kontroversi tahun lalu.

Sejak kebelakangan ini, industri hiburan negara kembali panas dengan pendedahan foto mesra beberapa selebriti lelaki bersama wanita di Twitter sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat.

Bagi penyanyi Ismail Izzani, dia terkesan dengan berita yang menimpa rakan-rakannya kerana dia sendiri pernah terpalit dengan penyebaran isu serupa sehingga hampir memusnahkan karier seninya tahun lalu.

Bagaimanapun kata penyanyi lagu Bidadari ini, sebagai rakan dia berharap mereka akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan selain perlu kuat semangat untuk menghadapi cabaran tersebut.

"Sebagai selebriti memang akan ramai yang mencari salah kita... Walaupun saya sendiri pernah mengalaminya namun pada masa hadapan saya sendiri tidak tahu apa pula orang akan cari kesalahan saya.

Ismail memberitahu kontroversi melandanya tahun lalu memberi banyak impak kepada dirinya.

"Namun apa boleh saya kongsi adalah mereka perlu lebih berhati-hati dalam memilih rakan dan mempercayai orang di sekeliling kita," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kejadian menimpanya sebelum ini banyak mengajar dia untuk lebih bersikap matang selain tidak mengulangi kesilapan sama.

"Sebelum ini saya tidak matang dan selalu berfikir pergi ke kelab malam itu adalah satu-satunya cara untuk berseronok.

"Tetapi sekarang saya sedar itu bukan caranya kerana banyak lagi benda lain saya boleh buat. Macam sekarang pada waktu lapang saya gemar bersukan selain pergi bercuti.

"Ia lebih memberi manfaat selain dapat menenangkan fikiran daripada kesibukan tugas sebagai seorang penyanyi," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan lagu untuk album pertamanya yang dijangka berada di pasaran pada September depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post