Sufian tidak berasa terkilan kerana kritikan tersebut bukan perkara baharu buatnya.
Dilabel bersuara ‘kemek’ sebagai punca tidak menang dalam senarai tiga terbaik menerusi Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33), penyanyi Sufian Suhaimi tidak berasa terkilan kerana kritikan tersebut bukan perkara baharu buatnya.
Sejak muncul dalam industri hampir tiga tahun lalu, bermacam gelaran tidak baik diterimanya termasuklah suara macam kartun, perempuan dan bersuara ‘kepit’.
“Jadi, saya tidak kecewa dengan pandangan sebegitu sebab vokal bukan satu-satunya elemen yang perlu di nilai dalam nyanyian.
“Semua gelaran itu juga yang memberikan satu keunikan buat saya. Kalau nak cari vokal yang merdu, sudah ada ramai penyanyi lain yang memilikinya, cuma untuk cari perbezaan sahaja yang sukar dan saya sangat berbangga dengan keunikan saya ini,” kata penyanyi berusia 27 tahun itu.
Sufian juga akan lebih berhati-hati dalam penciptaan karya lagu-lagu nyanyiannya agar sesuai dengan tahap vokal sendiri.
“Vokal sahaja bukan penentu mutlak kejayaan seseorang penyanyi,”katanya.
Terdahulu, isu suara ‘kemek’ Sufian menjadi perdebatan netizen apabila pengurusnya, Mahadhir Mohamad membidas sebuah artikel berhubung ulasan Ketua Juri AL33, Azmeer tentang kemenangan dan elemen vokal yang mempengaruhi keputusan AJL33.
Azmeer atau nama sebenarnya Mohd. Azhar Abu Bakar dilaporkan telah mengkritik kelemahan vokal Sufian sebagai ‘kemek’ dalam sidang akhbar usai berlangsungnya AJL33 pada malam Ahad lalu.
“Kesan daripada laporan berkenaan terdapat beberapa komen negatif seperti ‘oh si kemek’ dan lama-kelamaan akan menjadi viral (tular). Dalam laporan itu jelas menyatakan nama penyanyi dan penuturnya. Sebagai ketua juri, jika benar, adalah malang bagi kerjaya seni suara Sufian,” kata Mahadhir.
Azmeer bagaimanapun memberi maklum balas terhadap komen berkenaan, sekali gus menafikan ada mengeluarkan kenyataan ‘kemek’ sebagai merujuk mutu vokal Sufian pada malam AJL33.
Katanya, kenyataan tersebut telah disalahtafsir dalam laporan berita berkenaan sehingga menimbulkan fitnah dalam kalangan pengguna laman sosial.
Jelas beliau, komen yang diberikan terhadap mutu vokal para peserta adalah secara umum tanpa menyentuh mana-mana individu.
“Saya telah berbincang perkara ini dengan beberapa kenalan rapat dan tindakan yang boleh diambil. Insya-Allah, perkara ini akan selesai dengan elok,” katanya baru-baru ini.
Dalam entri komen yang sama, Azmeer turut memuji keupayaan vokal Sufian pada malam itu sebagai sebuah persembahan yang baik.
Pada AJL lau, Sufian menyanyikan lagu penuh kontroversi bertajuk Di Matamu sentuhan Rinkarnaen dan Sirkhan dengan hiasan pentas berkonsepkan pelamin anganku musnah merangkul anugerah Persembahan Terbaik.
Lagu Di Matamu sering dikaitkan dengan kisah putus tunang penyanyi itu dan pelakon Elfira Loy yang kini telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan, Faris Khairol Anuar pada Januari lalu.