Pelakon Eyka Farhana dijemput sebagai tetamu pada pertunjukan fesyen jenama terkenal Tommy Hilfiger di Minggu Fesyen Paris awal Mac ini. Foto SIA HONG KIAU
Pelakon Eyka Farhana teruja apabila bakal menghadiri Minggu Fesyen Paris yang berlangsung di Perancis pada awal Mac ini.
Eyka berkata, dia juga dijemput menghadiri pertunjukan fesyen Tommy Hilfiger pada 2 Mac yang bakal memperlihatkan jenama terkenal itu memperkenalkan koleksi kerjasama bersama aktres terkenal Zandaya.
“Insya Allah jika tiada halangan saya akan berangkat ke Paris pada penghujung bulan ini untuk menghadiri pertunjukan fesyen Tommy Hilfiger.
“Saya teruja sebenarnya sebab dipilih oleh pihak Tommy Hilfiger sendiri untuk mewakili selebriti dari Malaysia untuk ke acara itu.
Eyka bersama rakan selebriti dan pihak pengurusan DG Studio.
“Saya juga akan mengenakan pakaian jenama itu pada acara itu nanti dan berharap dapat bertemu dengan pereka fesyen itu,” katanya kepada mStar Online.
Eyka ditemui pada majlis pelancaran DG Studio iaitu sebuah butik yang memperkenalkan cenderamata premium dari Hong Kong yang diadakan di pusat beli-belah One Utama pada Jumaat.
Turut memeriahkan acara adalah pengacara Dahlia Syazwan dan selebriti media sosial Venice Mini.
Pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 24, ini turut memberitahu peluang ke Paris itu juga akan digunakan sebaiknya dalam meneroka tentang fesyen terkini di negara itu.
Eyka teruja bakal muncul dengan sebuah drama yang memperlihatkan dia memegang watak wanita psiko yang mempunyai lapan personaliti.
“Kebetulan sedang berlangsungnya minggu fesyen jadi seronok juga kalau dapat tengok dan belajar mengenai apa yang baru di sana.
“Selain itu saya juga akan ambil kesempatan itu untuk bercuti sebab bila balik Malaysia nanti saya akan terus masuk ke set drama terbaharu,” ujarnya.
Bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Eyka memberitahu dia teruja apabila akhirnya diberi peluang memegang watak berat dalam drama berjudul Kerana arahan Asyraf Jurey.
Kata Eyka, menerusi drama itu, dia memegang watak seorang wanita mempunyai lapan personaliti berbeza yang disifatkan berat namun memberi kepuasan sebagai pelakon.
Eyka bersama Dahlia Syazwan (kiri) dan Venice Mini.
“Sudah lama saya menantikan watak-watak sebegini kerana sebelum ini saya hanya diberikan peranan hampir serupa yang membuatkan saya tidak berkembang sebagai pelakon.
“Namun dalam ‘Kerana’ kredibiliti saya sebagai pelakon benar-benar teruji kerana bukan sahaja ceritanya yang berat tetapi watak saya juga sangat kompleks.
“Sebelum masuk set penggambaran banyak persediaan yang saya lakukan demi memastikan lapan personaliti yang ingin saya zahirkan sampai kepada penonton,” katanya yang turut bergandingan dengan Jasmin Hamid dan Beego dalam drama untuk siaran RTM itu.
Selain itu, Eyka bakal tampil dengan drama bersiri Bukan Cinta Aku arahan Erma Fatima dan sebuah telefilem Lelaki Melayu Terakhir arahan Datin Seri Umie Aida yang kedua-duanya menjalani penggambaran di Eropah pada akhir tahun lalu.