Elly Mazlein tak sabar solat berjemaah dengan bakal suami




Memberi gambaran bakal menamatkan zaman janda, penyanyi Elly Mazlein menyifatkan teman lelakinya kini sebagai calon suami yang terbaik.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, berkata, jejaka berusia lewat 20-an yang masih dirahsiakan namanya itu merupakan seorang lelaki yang baik dan sentiasa mementingkan perihal agama.

“Dia seorang yang sangat baik. Selain selalu meluangkan masa menjaga anak saya, iaitu Puteri Sara Sefia, dia juga tidak pernah tinggal solat.

“Setiap kali tibanya waktu solat Subuh, dia pasti akan menghubungi saya mengingatkan supaya mengerjakan solat. Hal ini menyebabkan saya tidak sabar untuk solat berjemaah bersamanya. Maklumlah, sebelum ini saya tidak pernah merasai pengalaman solat berjemaah bersama suami,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Bintang Bersama Bintang Musim Ke-3 di Sri Pentas sini sebentar tadi.

Menurut Elly, dia mula mengenali lelaki yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan itu sejak Ogos tahun lalu dan bakal bertemu dengan orang tua teman lelakinya itu pada Mac ini.

“Teman lelaki saya datang daripada keluarga yang besar. Dia merupakan anak kelapan daripada 13 adik beradik.

“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja untuk mengenali keluarganya dengan lebih dekat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Elly turut menyatakan hasrat untuk mengikat tali pertunangan. Bagaimanapun, dia masih merahsiakan tarikh pernikahan bersama teman lelakinya itu.

Elly pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2016.

Post a Comment

Previous Post Next Post