Pernah dijulang sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-31 tahun lalu, membuatkan pemilik nama Wany Hasrita tidak pernah meletakkan dirinya berada pada tahap membanggakan atau bahasa mudahnya kepompong radius selesa.
Apatah lagi apabila berada pada tahap atau aras tertentu dalam industri seni hiburan tanah air, seseorang artis pasti akan dijadikan rujukan mahupun penanda aras bagi perjalanan karier pada masa akan datang.
Bagi pemilik nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 27, dia sentiasa mahu menjadi yang terbaik dan kekal diterima bakatnya untuk masa mendatang, selain percaya potensi besar yang ada dalam dirinya.
Pun begitu, anak muda berbakat besar kelahiran Kuala Lumpur itu tidak menafikan dalam usaha untuk menjadi yang terbaik, pasti ada sekelumit kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Namun, perkara tersebut tidak pernah dijadikan sebagai bebanan mahu pun tekanan buat dirinya kerana dia tahu hala tuju dan perjalan hidupnya serta apa yang perlu dilakukan kelak.
“Saya tidak pernah menganggap ia sebagai satu beban apatah lagi tekanan, tetapi saya jadikan sebagai penguat serta pendorong untuk terus memajukan kerier yang dicintai.
“Sebagai manusia biasa, tentu sekali saya akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sekali gus tidak mahu berada di takuk lama,” katanya membuka bicara bersama Sensasi Bintang pada petang Selasa baru-baru ini.
Melihat kepada beberapa kejayaan dan penghargaan yang dicapainya sepanjang tahun lalu, Wany merancang untuk menjadikan 2019 sebagai satu lagi tahun terbaik untuknya termasuklah dari soal kerjaya, peribadi serta keluarga.
Jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan daripada Management Science University (MSU) Shah Alam, Selangor itu, terlalu banyak perkara yang direncakan sejurus pintu jendela lembaran 2019 dikuak.
Terlalu Memuja
Dalam usaha meneruskan kelangsungan nama dan karier mendatang nyanyiannya, Wany memberitahu bakal hadir dengan single terbaharu berjudul Terlalu Memuja.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu itu, lagu tersebut merupakan komposisi dan hasil sentuhan Sharon Paul yang menampilkan sisi berbeza daripada lagu-lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.
Jelas Wany, dia ingin melangkah dengan lebih matang dalam muzik dan tidak hanya mahu statik serta kekal dengan genre yang pernah dibawakan dan dikenali ramai.
“Saya tahu, mungkin peminat sudah biasa mendengar saya menyanyikan lagu berentak era 1990-an, tetapi kali ini ia sedikit berbeza.
“Pada saya sudah masanya untuk saya jadi lebih matang kerana suara saya pun semakin lama, semakin matang berbanding pada awal kemunculan. Menerusi lagu ini, saya rasa seperti baru keluar daripada kepompong,” katanya sambil mengukir senyum.
Menurutnya, Terlalu Memuja yang bakal diluncurkan pada April nanti benar-benar meruntun jiwanya apabila pernah menitiskan air mata kerana lagu tersebut mempunyai kaitan dengan kembara perjalanan hidupnya.
“Lagu yang turut mendapat sentuhan dan ditulis komposer Sirkhan dan Fedtri Yahya itu saya rasakan amat dekat dengan diri ini. Ia sebenarnya mengisahkan mengenai seorang wanita yang terlalu memuja seorang lelaki, namun cintanya tidak berbalas. Dia juga mula menyedari, sudah tiba saatnya untuk dia move on dan tidak perlu menagih kasih.
“Lirik lagu ini begitu dekat di hati kerana saya pernah melalui pengalaman diri tidak dihargai. Namun, saya sudah membuang jauh kenangan yang melukakan itu dan enggan ambil pusing perkara tersebut.
“Ada hikmahnya kerana pengalaman pahit itu banyak membantu ketika di studio rakaman. Apatah lagi, Terlalu Memuja menuntut penghayatan yang sangat mendalam. Saya akui, ia antara yang amat sukar dan mencabar untuk dibawakan pada awalnya,” katanya yang memberitahu lagu tersebut sudah siap dirakam pada Oktober tahun lalu.
Tambahnya, dia menaruh harapan tinggi untuk melihat lagu tersebut melangkah jauh, seterusnya membuka semula ruang dan peluang untuknya beraksi di pentas bersprestij seperti Anugerah Juara Lagu.
Wany berkata, selepas tampil dengan lagu tradisional, Ewah Ewah yang mendapat sambutan positif peminat, dia turut bakal merakamkan sebuah lagi lagu genre sama hujung tahun ini dan bergandingan dengan seorang artis tempatan hebat.
Masih solo
Ditebak mengenai statusnya sekarang atau bahasa mudahnya masih solo, Wany dengan nada selamba menjawab dia masih belum berfikir untuk memiliki teman hidup selepas melalui beberapa pengalaman mengecewakan dalam percintaan.
Pun begitu, dia menafikan dan menepis dakwaan mengatakan pintu hatinya sudah tertutup rapat untuk menerima lamaran serta menjalinkan percintaan pada masa akan datang.
“Semuanya saya serahkan kepada takdir Tuhan. Jujur saya masih solo dan belum berpunya. Pintu hati saya masih terbuka dan langsung tidak tertutup selepas berdepan beberapa pengalaman hidup yang secara tidak langsung menjadikan saya lebih matang.
“Namun, pada satu tahap, saya rasa seperti malas mahu bercinta dan hanya ingin fokus dengan apa yang saya cintai umumnya karier, keluarga dan peminat yang sentiasa ada hingga kini,” ujarnya.
Wany yang tercalon dalam Anugerah MeleTOP Era (AME2019) menerusi tiga kategori iaitu Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP dan Grup/Duo MeleTOP turut memberitahu, dia tidak pernah cerewet dalam soal memilih teman hidup asalkan lelaki itu berjaya memenangi hati ibunya.
“Saya seorang yang jenis ringkas. Selepas apa yang dilalui dalam hidup, saya kini memandang lelaki yang boleh mengambil hati ibu saya sahaja. Bahasa mudahnya, jika ibu berkenan, maka berkenanlah saya.
“Lagipun perihal jodoh bukan menjadi keutamaan saya buat masa ini kerana ingin memberi fokus lebih kepada kerjaya seni. Banyak lagi perkara yang saya belum dan ingin saya capai dalam hidup ini,” katanya yang mengidolakan Jamal Abdillah dalam dunia nyanyian tempatan.