Pelakon dan penyanyi, Alvin Chong kerugian lebih RM6,000 selepas begnya dicuri ketika bercuti di London, semalam.
Pelakon drama Awak Suka Saya Tak ketika dihubungi, berkata kejadian berlaku ketika dia sedang mengambil gambar kenangan di Menara Jambatan London.
"Saya meletak beg di belakang kaki dan dalam tempoh tidak sampai 30 saat, sebaik saja tunduk serta menoleh untuk mengambil beg, ia sudah tiada.
"Saya kehilangan pasport, wang tunai dalam mata wang Euro, Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura, Pound Sterling dan Ringgit Malaysia yang disimpan di dalam beg," katanya.
Alvin berkata, sejurus kehilangan dia terus ke pejabat kedutaan Malaysia di London untuk membuat laporan kehilangan pasport dan permohonan baru.
Katanya, pada awal dia tidak dapat membuat pasport ganti kerana bukan bekerja di sana tetapi mujurlah pihak kedutaan faham selepas menerangkan keadaan yang berlaku.
"Terima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia yang banyak membantu dan memudahkan urusan saya untuk mendapatkan pasport baru.
"Kejadian ini adalah pengajaran buat saya supaya lebih berhati-hati apabila berada di negara asing," katanya.
Alvin berada di London selama tiga hari untuk bercuti sempena meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama rakannya yang menetap di sana dan dijangka tiba di Malaysia petang ini.