Aishah Bujang tidak putus asa cari peluang dalam industri.
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 7 (AF7), Aishah Bujang tidak akan berputus asa untuk mencari tempat dalam industri muzik tanah air.
Aishah, 28, berkata, kesabaran kesungguhan rakan baiknya Zizi Kirana mengambil masa 10 tahun untuk dikenali menjadikan dia lebih yakin ada peluang untuknya.
"Kami sama-sama cari peluang dan Alhamdulillah dia sedikit sebanyak mula diterima selepas 10 tahun dan itu membuatkan saya kuat untuk tidak putus asa.
"Kalau Zizi boleh kenapa saya tidak, saya yakin akan tiba masa saya suatu hari nanti ia cepat atau lambat sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Aishah muncul single baharu berjudul Rap Untuk Rakyat bersama Daly Filsuf.
Aishah baharu sahaja melancarkan single baharunya genre hip hop berjudul Rap Untuk Rakyat bersama Daly Filsuf.
Menurutnya, lagu berkenaan mengisahkan cerita tentang nasihat-nasihat berkaitan isu semasa.
Tambah Aishah, ia juga merupakan percubaannya menyanyi dalam genre hip hop.
"Tahun lepas abang Daly tawarkan saya untuk berduet satu lagu dan Alhamdulillah ia berjalan lancar dan kami sedang promsi lagu ini.
"Lagu ini merupakan percubaan pertama saya rap dan ia agak susah juga sebab kena tahu cara dan rentak hip hop.
"Saya bukan nak jadi penyanyi rap tapi lebih kepada mencuba pelbagai genre dan mencabar diri saya sebagai seorang penyanyi," ujarnya.
Selain itu, Aishah berkata, dia juga kini menceburkan diri dalam bidang pengacaraan dokumentari untuk TV Okey.