Ketiadaan puteri tercinta penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah bagi kategori Si Cilik MeleTOP Top 20 pada Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019), menjadi persoalan dan tanda tanya terutama di media sosial.
Ramai yang tertanya-tanya kenapa bayi yang ditunggu-tunggu kelahirannya selepas hampir 11 tahun menanti tiada dalam senarai pencalonan awal.
Penolong Naib Presiden Segmen Kanak-Kanak & remaja Astro, Marissa Hanafi berkata, pihaknya menafikan AME sengaja tidak mencalonkan anak kepada penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu sebaliknya ia termaktub dalam terma dan syarat pencalonan.
“Ada beberapa ciri yang disenaraikan sebelum Top 20 dipilih. Untuk kategori terbabit, ia dinilai menerusi platform Instagram si cilik terbabit.
Raqim dan Marissa ketika sidang media.
“Tak adil jika dia dinilai menerusi Instagram ibu atau bapanya. Jika dia tidak memiliki akaun Instagram sendiri, ia tak boleh dimasukkan ke dalam senarai Top 20
“Setiap calon perlu mempunyai akaun Instagram rasmi dengan jumlah pengikut yang ramai tetapi Siti Aafiyah tidak ada,” katanya.
Untuk rekod, pada AME 2018, Arif Jiwa Asyraf memenangi kategori terbabit.
Sentiasa tampil dengan konsep yang segar dan mantap, AME 2019 memperkenalkan temanya iaitu Yang Legit, Yang Legend.
Ia bagi meraikan karya dan personaliti paling hit dan meleTOP merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital sepanjang 2018.
Sementara itu, Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad berkata, penganjuran AME yang sudah memasuki tahun keenam dilihat sudah meletakkan satu tanda aras baru dalam industri hiburan tanah air.
“Kami berbesar hati melihat impak cemerlang jenama AME yang semakin ditunggu-tunggu peminat serta penggiat seni tempatan.
“Lebih membanggakan, AME turut berjaya meraih jumlah rating yang tinggi serta sering mencetuskan fenomena luar biasa di dalam media sosial,” katanya.
Apa yang menarik, pengumuman senarai Top 20 dibuat secara langsung pada program MeleTOP, Selasa lalu dan mendapat sambutan hangat daripada barisan selebriti dan pihak media yang mengambil bahagian.
“Sebagai tanda penghormatan dan terima kasih kepada rakan media yang tidak pernah jemu menyokong kejayaan AME, kami rangkakan segmen khas bersama media selaku tetamu jemputan istimewa untuk pengumuman TOP 20.
“Jika sebelum ini pengumuman dibuat pada majlis sidang media, tapi kali ini kami tampilkan kelainan kepada artis dan media apabila kami ‘pecah masuk’ program MeleTOP yang bersiaran selama satu jam 30 minit.
“Tak sangka, kelainan yang dibawakan ini mendapat respons positif dalam kalangan artis serta rakan media. Terima kasih atas kesudian rakan media yang menjayakan episod MeleTOP kali ini,” katanya.
AME 2018 bakal berlangsung pada 21 April depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.