Potong babak bersentuhan atau saya akan padam muzik video itu! Adira khianati kepercayaan suami



Video muzik lagu 'Pujaan Hati' dilancarkan oleh Nova Muzik pada Rabu lalu.

Suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan Abu berang apabila tegurannya terhadap babak bersentuhan dalam video muzik lagu baharu isteri keduanya berjudul Pujaan Hati tidak diendahkan.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, dia sudah memberi peringatan kepada Adira dan pengurusnya agar tidak melakukan babak bersentuhan dengan lelaki lain dalam video muzik tersebut, namun tidak diberi perhatian.

"Saya kecewa dengan babak bersentuhan itu seolah-olah tidak menghormati saya sebagai suami Adira. Sehari sebelum penggambaran saya sudah beri amaran dan saya dapat tahu mereka tetap buat juga. Sebelum pelancaran saya sudah hubungi Adira dan pengurus agar buang babak tersebut.



Datuk Red meluahkan rasa marah di IG, namun memadamnya beberapa jam kemudian.

"Tapi mereka tidak layan. Apa mereka rasa benda haram macam tu boleh naikkan Adira semula dalam industri?” ujarnya kepada mStar Online.

Menerusi video muzik berkenaan, Adira bersentuhan dengan memegang tangan pelakon lelaki yang sedang berbaring di sebuah hospital.

Datuk Red sebelum ini ada memuat naik rasa tidak puas hati di laman sosial Instagram miliknya terhadap babak bersentuhan dalam video muzik tersebut yang dilancarkan pada Rabu lalu.

Dia turut meminta pihak pengurusan penyanyi itu iaitu Nova Music agar memotong babak tersebut dalam tempoh tiga hari sejak Jumaat lalu.

Saya sudah dapat balasan dosa-dosa lampau dan sekarang nak jadi manusia lebih baik tapi jadi macam ni pula.
DATUK SERI ADNAN ABU (Datuk Red)
Suami Adira Suhaimi
Adira menerusi sebuah portal berita enggan memanjangkan isu tersebut dan menganggap perkara berkenaan boleh dibawa berbincang di rumah.

Datuk Red menambah, dia juga akan mengambil tindakan tegas dan mencari jalan untuk memadam video muzik tersebut dalam apa cara sekalipun.

"Saya bagi tempoh untuk mereka usahakan tapi sampai sekarang masih lagi tiada apa-apa tindakan. Pihak Nova Music langsung tidak hubungi saya.

"Sekarang saya akan usahakan video muzik itu dipadamkan dari Internet kerana selagi ada selagi itu dosa saya berjalan.



Adira bersama pihak pengarah urusan Nova Muzik, Rosmin Hashim ketika pelancaran video muzik lagu Pujaan Hati.

"Saya sudah dapat balasan dosa-dosa lampau dan sekarang nak jadi manusia lebih baik tapi jadi macam ni pula,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Red berkata, dia memberi kebebasan kepada Adira untuk kembali ke dalam industri, namun ada batasannya.

"Saya beri kelonggaran tapi ada batasan. Masa penggambaran 99 peratus kru produksi beragama Islam tapi kenapa tidak fikir tentang itu.

"Mereka boleh sahaja lapik selimut atau apa-apa. Saya sudah lama tak campur urusan Adira sebab tak mahu orang kata saya yang lebih-lebih, tapi lain pula jadinya” ujarnya.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post