Pengorbanan Haiza Hanafi




Tanggal 2 Januari lalu, anak lelaki kepada penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza Hanafi memulakan sesi persekolahan tahun satu.

Sungguhpun ia merupakan fasa yang paling dinantikan, namun, jauh di sudut hati Haiza, dia masih belum puas untuk melihat anaknya, Nur Iman Syafie, 7, membesar di depan mata.

Menurut Haiza atau nama sebenarnya, Rohaiza Nordin, 39, sebagai seorang ibu yang bekerja tidak tentu masa, dia terpaksa membahagikan masanya dengan cermat, apatah lagi Iman kini banyak menghabiskan masa di sekolah.

Ujar penyanyi lagu Dag Dig Dug itu, dia dan suami, Norhanaphe Omar akan cuba sedaya upaya untuk meluangkan waktu bersama anak tersayang agar momen-momen penting tidak terlepas begitu sahaja.

Anak lelaki Haiza, Iman memulakan sesi persekolahan tahun satu pada Rabu lalu. Bagaimanakah perasaan anda saat melihat anak kesayangan menempuhi fasa terbaharu dalam kehidupannya?

HAIZA: Sejujurnya, saya berasa sangat gembira melihat perkembangan Iman. Namun, jauh di sudut hati, saya berasa masih kurang puas melihat dia membesar.

Mengapakah anda berkata demikian?

Sebelum ini, sewaktu sesi prasekolah, saya kurang menghabiskan masa untuk Iman memandangkan pekerjaan tidak tentu masa sebagai penyampai radio, penyanyi dan pengendali majlis. Jadi, apabila Iman mula memasuki tahun satu dan akan menghabiskan kebanyakan masanya di sekolah, saya jadi khuatir jika masa untuk bersama Iman akan lebih berkurangan.

Apakah tindakan anda untuk mengelak perkara tersebut daripada berlaku?

Saya tahu, bekerja sebagai penyampai radio untuk sesi pagi menyebabkan saya berasa cepat mengantuk. Disebabkan penat saya akan masuk tidur awal, tetapi ia menyebabkan saya tidak akan ada masa langsung untuk Iman. Oleh sebab itu, saya perlu berkorban sedikit untuk anak. Biarlah penat sikit asalkan dapat berbual dan melayannya di rumah.

Bagaimanakah reaksi Iman pada hari pertama persekolahannya?

Sejak seminggu sebelum sekolah dibuka, dia sudah berasa teruja. Setiap hari dia akan bertanya kepada ayahnya bilakah sesi persekolahan akan bermula. Pada malam sebelum hari pertamanya di sekolah, dia seperti sudah bersedia untuk keesokan harinya. Alhamdulillah, sewaktu saya mengejutkannya pada waktu pagi, dia tidak merengek dan terus bangun bersiap ke sekolah.

Bagaimana pula kelengkapan persekolahannya?

Tidak banyak yang saya sediakan. Tambahan pula, pihak sekolah sudah menyediakan semua buku-buku yang diperlukan. Saya cuma tambah beberapa judul sahaja. Kelengkapan lain seperti bekas menyimpan alat tulis dan beg sekolah semuanya diberi oleh rakan-rakan saya sempena hari lahirnya pada September lalu.

Bolehkah anda kongsikan tentang perkembangan terbaharu karier seni?

Insya-Allah, saya bakal melancarkan single terbaharu tidak lama lagi. Cuma, saya tidak boleh mendedahkan siapakah komposer yang terlibat dalam pembikinan lagu berkenaan.

Bilakah peminat dapat menjangkakan penerbitan single berkenaan?

Jika mengikut perbincangan, saya berharap ia akan dilancarkan selewat-lewatnya penghujung Februari tahun ini. Segala perancangan seperti rangka promosi dan pembikinan klip video telah diuruskan oleh syarikat rakaman, Indigital.

Post a Comment

Previous Post Next Post