Zamani bakal keluar single baharu ciptaan Faizal Tahir.
Pengurus Zamani iaitu Aalan Ahmad kesal tindakan segelintir peminat yang berani bertanya kepada penganjur tentang harga bayaran yang diterima penyanyi itu.
Aalan berkata, dia menerima beberapa kali aduan daripada pihak penganjur yang kurang senang dengan perkara berkenaan.
"Saya sedar ada segelintir peminat yang masih tidak terima saya menjaga Zamani mungkin disebabkan isu sebelum ini. Namun saya minta mereka tidak melampaui batasan.
"Saya menerima beberapa kali aduan daripada pihak penganjur tentang tindakan peminat yang bertanya bayaran yang Zamani terima.
"Saya faham mereka bertujuan baik tapi perkara itu sudah melampau dan hanya menjejaskan kerjaya Zamani sahaja. Jika anda memang kumpulan peminat Zamani, anda perlu sama-sama sokong kerjaya dia dan bukan melakukan perkara-perkara di luar batasan peminat," ujarnya kepada mStar Online.
Zamani kini diuruskan oleh Aalan Ahmad.
Sebelum ini, kontroversi pengurus kepada penyanyi itu tercetus apabila bekas pengurusnya Johan Aziz tampil mengeluarkan kenyataan mahu mengeluarkan Zamani daripada program Gegar Vaganza 5.
Namun, Aalan menafikan perkara tersebut dan mengesahkan dia kini menguruskan kerjaya penyanyi berkenaan.
Dalam pada itu, diminta mengulas video Zamani menyanyi di sebuah restoran sehingga menimbulkan dakwaan dia mengambil tawaran tidak sesuai dengan statusnya, Aalan berkata perkara tersebut tidak pernah berlaku.
Katanya, Zamani menyanyi di restoran berkenaan bagi menunaikan permintaan peminatnya.
Video yang disangka Zamani mengadakan persembahan di sebuah restoran.
"Jangan salah faham, selepas program Gegar Vaganza 5 tempoh hari Alhamdulillah banyak tawaran persembahan, tapi saya tidaklah sampai sapu semua dan tangkap muat.
"Saya masih memilih tawaran bersesuaian dengan Zamani. Zamani memang ada menyanyi di restoran tapi itu kerana perminataan peminatnya dan dia sendiri mahu belanja lagu untuk mereka," ujarnya.
Selain itu, Aalan berkongsi perkembangan terbaharu penyanyi itu bakal merakamkan single terbaharunya ciptaan komposer Faizal Tahir.
Katanya, single tersebut mungkin akan dilancarkan pada Februari depan.