Amira Othman gementar tunggu reaksi pendengar




Sekitar tiga tahun lalu, pesona yang dimiliki empunya diri bernama Amira Othman ini berjaya mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri.

Bermula dengan lagu Hati-Hati dan kemudian Jaga-Jaga, kanvas perjalanan bintang yang lahir daripada program realiti nyanyian Akademi Fantasia 2013 ini dilihat terukir indah.

Bagaimanapun, seperti ada tembok batu yang menghalang pelakon drama Abang Bomba I Love You ini untuk terus mencipta nama apabila dia dilihat seakan-akan sepi seketika daripada radar penuh populariti.

“Ya, betul. Apabila berjumpa dengan orang ramai, mereka juga berkata sudah lama saya tidak muncul dengan sebarang lagu baharu mahupun di televisyen.

“Bukan apa, sebenarnya saya seorang yang sangat cerewet dalam memilih sesebuah lagu. Saya akan mengeluarkan satu-satu lagu dalam tempoh yang agak lama. Setahun baru keluar dengan satu lagu. Berbeza dengan penyanyi lain yang dalam tempoh setahun, mereka mempunyai dua atau tiga lagu. Mungkin hal itu menyebabkan nama saya sedikit sepi,” jelasnya.

Bukan sengaja menyasarkan begitu, namun jelas anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini kadangkala lagu yang diberikan tidak sesuai dengan vokal yang dimilikinya.

“Lagu sentiasa ada, sama ada yang memberikan demo atau saya sendiri yang memintanya tetapi apa yang boleh saya kongsikan, kalau ada seribu lagu, mungkin satu atau dua sahaja yang berkenan di hati.

“Bukan lagu-lagu berkenaan tidak sedap untuk didengar tetap ia tidak sesuai dengan vokal saya. Mungkin pada penyanyi lain lagu-lagu berkenaan lebih sesuai,” ungkapnya.

Memiliki kelas dan pandangan yang tersendiri, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman ini enggan mengeluarkan lagu sekadar mahu mewujudkan keberadaanya dalam industri nyanyian semata-mata.

“Bagi saya, yang menaikkan seseorang penyanyi adalah lagu.

“Untuk saya muncul dengan lagu baharu semata-mata tidak mahu kelihatan senyap dalam industri seni, sedangkan lagu berkenaan tidak mencapai sasaran yang saya mahu, itu bukanlah saya,” jelasnya.

Sambil

Menyedari akan hal itu dan enggan terus-menerus membiarkan peminat menanti-nantikan kehadirannya untuk beraksi semula, Amira menghadirkan berita gembira.

Katanya, tidak lama lagi dia bakal muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Sambil.

Menariknya, Sambil yang merupakan sebuah lagu duet bersama adiknya, Irfan Haris dihasilkan berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini.

“Sambil merupakan sebuah lagu berentak balada. Saya tidak pernah menyanyikan lagu berentak begini, sedangkan genre tersebut kena dengan jiwa saya. Cuma, sebelum ini saya tidak berani untuk tampil dengan genre balada.

“Namun, saya akui perlu mengikut trend masa kini yang mana harus tahu apa yang para pendengar inginkan. Nak ikut cita rasa kita sahaja memang tidak boleh,” katanya.

Dalam pada itu, Amira turut menghamburkan rasa gusarnya terhadap penerimaan pendengar kelak.

“Saya sebenarnya risau kerana sebelum ini saya dikenali sebagai penyanyi lagu catchy dan terfikir bagaimanakah penerimaan pendengar kelak.

“Pada masa sama, saya nak orang tahu genre sebeginilah jiwa saya. Kalau tengok saya membuat cover lagu di Instagram pun kebanyakan lagu yang saya bawakan adalah lagu-lagu sedih dan cinta,” ujarnya yang berharap agar pendengar dapat menerima buah tangannya itu yang dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya pada penghujung bulan depan.

Rancak berbicara dengan si cantik manis ini, Amira meluahkan harapan agar perjalanan takwim 2019 lebih indah buat dirinya dalam mencipta nama sebagai anak seni.

“Saya harap pada tahun ini, saya akan mendapat sesuatu yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya selain berharap agar diberikan rezeki dan lebih banyak peluang,” ujarnya.



Kahwin

Memiliki raut wajah yang cantik serta pakej lemah lembut persis wanita Melayu terakhir, sengaja soal hatinya diselak.

Labih-lebih lagi ada perkhabaran yang mengatakan dia sudah bersedia untuk memiliki teman hidup pada tahun ini. Tidak melenting dengan soalan tersebut, Amira melepaskan sebuah tawa kecil.

“Sebenarnya, saya tidaklah meletakkan 2019 sebagai tahun untuk saya mencari cinta kerana banyak lagi perkara yang saya mahu kejar dalam hidup.

“Lagipun, tahun ini umur saya baru menjengah usia 26 tahun, maka tidak perlu rasanya terlalu terburu-buru, tetapi kalau sekadar mahu berkawan, saya okey sahaja,” tuturnya yang mengakui seorang yang cemburu.

Kata Amira lagi, dalam mencari teman hidup, dia berharap agar menemui seorang lelaki bercirikan family man kerana dia sememangnya seorang yang sangat rapat dengan keluarga.

Dalam pada itu, Amira turut memberitahu, sasaran untuk dirinya mendirikan rumah tangga adalah sebelum menjangkau usia 30 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post