Berbalah dengan UNIC, Fitri Haris enggan ulas




Enggan mengulas lanjut tentang isu perbalahan dengan anggota UNIC, secara peribadi, Fitri Haris menjadikan situasi berkenaan sebagai sempadan dan teladan bagi orang lain.

LEBIH sebulan lalu, secara tiba-tiba timbul isu perbalahan antara anggota UNIC kononnya tidak berpuas hati terhadap bekas anggotanya, Fitri Haris yang masih menggunakan lagu-lagu kumpulan itu ketika menjayakan persembahan.

Pertikaian tersebut timbul selepas ketiga-tiga anggota kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 itu menyuarakan perasaan tidak puas hati di Instagram mereka. Apatah lagi penganjuran konsert Fitri yang berlangsung 9 Disember lalu juga menggunakan beberapa lagu sama yang dibawakan UNIC menerusi konsert mereka pada 7 Disember lalu.

Mengambil pendekatan berdiam diri sebelum akhirnya membuka mulut pada hujung bulan lalu, Fitri bagaimanapun berkata, dia menyerahkan segala perkara berbangkit kepada pihak pengurusan.

Fitri mengakui berasa terkejut kerana isu tersebut mengatasi nilai persahabatan yang telah lama terjalin antara mereka selama ini.

Ikuti penjelasan daripada pemenang program pertandingan Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) itu ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Fitri Haris jelaskan situasi sebenar kononnya ada pergaduhan antara anda dengan UNIC, semuanya gara-gara lagu nyanyian, benarkah?

FITRI HARIS: Saya pernah mengeluarkan satu kenyataan di Instagram, menerusinya ada 10 perkara yang saya utarakan. Segala hal yang berlaku ini, saya serahkan kepada pihak pengurusan. Saya tidak mahu isu tersebut dibangkitkan lagi, khalayak perlu faham beberapa perkara.

Saya bukanlah penyanyi sepenuh masa sebab saya ada kerja lain iaitu sebagai tenaga pengajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah. Jadi apabila isu ini terjadi, ia juga telah membabitkan beberapa organisasi lain.

Apa pula kata anda berhubung dakwaan UNIC yang mengatakan anda masih menumpang nama mereka?

Tiada istilah tumpang pun sebab saya sudah keluar daripada UNIC sejak sembilan tahun lalu. Namun begitu, syukur kerana saya masih berjaya harungi segala cabaran yang selama ini orang tidak tahu pun.

Sewaktu bersaing dalam GGV2, bukan setiap minggu saya menyanyikan lagu UNIC. Jadi, sangat tidak adil jika kata saya tumpang mereka.

Adakah anda kecil hati dengan perkara berkenaan?

Bukan soal kecil hati tetapi lebih ke arah terkejut. Sebab ia berlaku dalam kalangan rakan-rakan sendiri sedangkan selama ini hubungan kami semua sangat baik. Saya percaya, nilai persahabatan lebih besar daripada isu menumpang nama dan lagu.

Adakah isu tersebut memberi impak terhadap karier dan diri anda secara peribadi?

Sejujurnya, isu itu membuatkan saya sangat terkejut. Sumpah saya tidak sangka ia berlaku dalam kalangan kawan-kawan sendiri.

Pada mulanya saya anggap mereka sekadar bergurau tetapi selepas semua ahli UNIC bersuara, barulah saya sedar ia bukan main-main. Saya sangat terkejut sehinggakan terpaksa membatalkan dua program selain meminta cuti daripada pihak UUM.

Saya pulang ke rumah persinggahan di Johor dan menghabiskan masa bersama anak. Setiap kali ada masalah, memang anaklah tempat saya mencari ketenangan.

Apa komen anda berhubung kritikan sinis peminat yang melihat pergaduhan kalian sesama penyanyi nasyid yang mengalunkan lagu ketuhanan sepatutnya tidak berlaku?

Saya sendiri tidak pandai untuk menghuraikan perkara ini dengan lebih lanjut. Saya akui semua ini tidak sepatutnya berlaku.

Namun, satu hal yang kita kena sedar adalah tiada manusia yang tidak pernah buat silap. Saya juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Jadi saya ambil isu ini dari sudut positif, mungkin ia mampu menjadi pengajaran kepada artis nasyid lain pada masa akan datang.

Baiklah, cukuplah dengan isu pergaduhan, sekarang kongsikan pula perkembangan karier anda?

Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan melancarkan single terbaharu berjudul Hanya Kamu. Lagu ini merupakan ciptaan Awi Rafael sebab selepas menjuarai GGV2 tempoh hari, memang ada tawaran daripada Awi.

Untuk single ini, saya tampilkan kelainan dari segi muzik. Dalam perancangan juga klip video lagu ini akan dirakamkan di Jakarta, Indonesia.

Post a Comment

Previous Post Next Post