Tiz Zaqyah diburu 4 lelaki




Belum pernah lagi kita mendengar kisah mengenai pelakon Tiz Zaqyah diburu oleh empat lelaki serentak untuk mendapatkan cintanya. Bagaimanapun, itulah yang dipaparkan dalam drama bersiri Isteri Untuk Disewa menerusi wataknya sebagai Nur.

Dalam naskhah arahan pengarah terkenal, Osman Ali itu, ia menceritakan mengenai watak Nur yang menyediakan perkhidmatan dirinya untuk disewa kepada mana-mana individu yang mempunyai masalah dalam perihal perhubungan dan cinta

Sungguhpun begitu, daripada sekadar menyediakan perkhidmatan, masing-masing dalam diam menaruh hati dan perasaan kepada Nur. Mengangkat genre romantik komedi, drama Isteri Untuk Disewa menampilkan aktor Fattah Amin selaku hero bersama tiga jejaka lain, Halim Radzi, Zaki Azeman dan Harris Anuar.

“Menariknya, drama ini kita cuba paparkan nilai kekeluargaan kepada penonton. Pada masa sama, kita terjemahkan dalam bentuk sebuah jalan cerita yang santai dengan menyelitkan unsur komedi romantik. Teraju utamanya kita gandingkan pelakon Tiz Zaqyah dan Fattah Amin.

“Mereka berdua sememangnya senang untuk bekerjasama, selain dilihat serasi digandingkan. Bahkan, Tiz Zaqyah selaku pelakon yang jauh berpengalaman juga bijak mewujudkan keserasian dengan pelakon-pelakon lelaki lain yang cuba memenangi hatinya,” kongsi Osman selaku pengarah ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Jelasnya lagi, penggambaran Isteri Untuk Disewa itu banyak berlatarbelakangkan lokasi-lokasi di Ipoh, Perak.

“Proses penggambaran masih lagi dijalankan. Buat masa ini kita mempunyai lebih kurang 30 peratus lagi baki penggambaran yang perlu diselesaikan. Babak yang melibatkan suasana di dalam rumah diadakan di Kuala Lumpur sahaja.

“Kita juga akan menjalani penggambaran di Melbourne, Australia tidak lama lagi. Lebih kurang total keseluruhan 70 hari penggambaran sejak bermula pada pertengahan September lalu,” kongsinya yang juga bertindak sebagai penerbit.

Isteri Untuk Disewa memaparkan gelagat lucu Nur yang menawarkan perkhidmatan menyewa dirinya yang tidak pernah dibuat orang lain. Ia dilakukan bagi menyara hidup, sementara dirinya mendapat pekerjaan tetap.

Bagaimanapun, tanpa disangka, servis tersebut mendapat permintaan yang cukup memberangsangkan.

Lebih parah apabila empat lelaki yang menggunakan perkhidmatannya itu mula jatuh hati kepada Nur.

“Gelagat lucu dapat dilihat apabila Noah (lakonan Fattah) menggunakan khidmatnya sebagai isteri sewaan. Ada yang cuba menjadikan Nur sebagai kekasih dan ada juga sebagai tunang. Daripada situlah konflik mula timbul apabila Nur perlu berdepan dengan semua yang ‘menyewa’ dirinya,” tambah Osman.

Drama bersiri 24 episod itu bersiaran bermula esok di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post