Haneesya Hanee Dewi Remaja nafi cuba raih simpati




Tindakan finalis Dewi Remaja 2018/2019, Haneesya Hanee yang sering berkongsi tentang kekurangan dirinya yang mengidap penyakit Disleksia, Skoliosis dan Talasemia telah menimbulkan salah faham di kalangan netizen yang merasakan dia cuba meraih simpati ramai.

Haneesya atau nama lengkapnya, Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan menegaskan dia mempunyai alasannya yang tersendiri di sebalik perkongsian itu.

Menurutnya yang lebih mesra disapa sebagai Hanee, apa yang dikongsikan itu adalah untuk memberi semangat kepada mereka di luar sana agar sentiasa positif dan tidak malu dengan kekurangan diri.

“Hanee selalu highlight tentang kekurangan diri kerana mahu buktikan kepada orang ramai bahawa kekurangan diri kita sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu pembakar semangat untuk kita terus menggapai impian.

“Kita tidak sepatutnya malu dengan sesuatu kekurangan, sebaliknya bangkit dan jadikan ia sebagai satu kelebihan,” tegasnya.

Kata Hanee lagi, suatu ketika dahulu dia pernah bersedih mengenangkan kekurangan dirinya yang dilahirkan mengidap disleksia dan masalah tulang belakang yang dialaminya.

Namun dia kemudiannya bangkit dan percaya dirinya mampu untuk menjalani kehidupan sebagaimana orang lain.

“Dulu Hanee sedih dan tertanya-tanya kenapa dilahirkan Disleksia dan ada masalah tulang belakang. Tapi lama-kelamaan Hanee kuatkan semangat, bangkit dan buktikan pada orang ramai yang Hanee boleh buat dengan lebih baik dalam apa pun perkara.

“Jadi semangat itulah yang Hanee ingin sampaikan apabila berkongsi tentang kekurangan diri Hanee. Hanee mahu mereka di luar sana yang menghadapi masalah yang sama boleh bangkit dan buat sesuatu yang lebih baik dalam hidup mereka.

“Memang tindakan Hanee itu bertujuan untuk menarik perhatian. Ini kerana Hanee nak mereka faham apa yang Hanee cuba sampaikan. Itu niat Hanee sebenarnya,” luahnya.

Haneesya sebelum ini terlibat aktif sebagai seorang model dan mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan apabila membintangi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek.

Post a Comment

Previous Post Next Post