
Biarpun mengakui bidang pengacaraan bukanlah keutamaan bagi dirinya, namun jika ditawarkan untuk menggalas tugas sebagai seorang hos sekali lagi, pelakon berbakat besar, Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin memberitahu, dia akan mempertimbangkannya.
“Sekiranya selepas ini ada tawaran untuk menjadi pengacara, mungkin saya boleh mempertimbangkannya.
“Bagaimanapun, kalau jadi hos secara solo, saya tidak berani. Saya berani menerima tawaran untuk menjadi pengacara Anugerah Bintang Popular ke-31 (ABP31) baru-baru ini pun disebabkan ada Ajak dan Janna Nick,” katanya.
Mengulas lanjut, anak kelahiran sebuah negeri di utara tanah air yang berusia 33 tahun itu memberitahu, hal ini kerana lakonan merupakan bidang yang menjadi keutamaan bagi dirinya berbanding bidang lain.
“Bukan apa, ini kerana lakonan adalah keutamaan saya, nyanyian dan pengacaraan pula adalah tempat kedua bagi saya,” ujarnya saat ditanya adakah dia akan menerima sekiranya ditawarkan menjadi seorang pengacara pada masa akan datang.
Berkongsi mengenai ABP31 yang berlangsung pada 7 Oktober lalu pula, selaku salah seorang pengacara, Zara menghela nafas lega kerana semuanya sudah berakhir dengan jayanya.
“Alhamdulillah. Saya berasa lega kerana satu tekanan yang dirasai sejak hari pertama ditawarkan sudah selesai.
“Saya berpuas hati meskipun ada ayat-ayat yang tertinggal tetapi bagi saya itu perkara biasa kerana semua orang akan mengalaminya apatah lagi yang baru pertama kali mengacara di pentas yang berprestij,” ujarnya berkongsi rasa.
Bersua bicara, pelantun lagu Tiada Dendam itu diajak juga berbicara mengenai kisah percintaannya dengan pelakon, Hafreez Adam.
Bukan apa, sebelum ini Hafreez ada memberitahu dia tidak mahu bertunang sebaliknya terus berkahwin dengan si manis, Zara.
Tidak lekang dengan senyuman di bibir, Zara menjawab satu per satu persoalan dengan tenang.
“Dia (Hafreez) ada cakap tahun depan nak kahwin tetapi saya tidak berani untuk terus bercakap mengenai hala tuju tentang perhubungan kami kerana tidak mahu benda tidak elok berlaku. Kalau boleh kami pun nak cepat.
“Cumanya, kami sibuk dengan kerjaya masing-masing. Apa pun, saya mengharapkan kalian mendoakan yang terbaik buat kami,” ujarnya.