
Selepas lagu berjudul Hikayat Benladin mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat muzik tempatan dengan rekod tontonan sebanyak 15 juta di laman YouTube, penyanyi Ben Ladin kini jelas berhati-hati dalam menghasilkan single terbaharu.
Ben Ladin atau nama sebenarnya, Muhammad Benladin Munshi Shaihan, 17, tidak menyangka Hikayat Benladin berjaya membawa karier nyanyiannya ke tahap yang lebih tinggi sehinggakan lahir perasaan risau dalam dirinya.
Hal ini kerana dia berasa bimbang untuk mencari jalan bagaimana mahu mengekalkan momentum karier dengan menghasilkan lagu yang lebih berkualiti.
“Kerisauan dalam menghasilkan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang mestilah ada memandangkan kejayaan Hikayat Benladin sebelum ini sangat luar biasa. Semestinya peminat akan mengharapkan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Tekanan tersebut menyebabkan saya lebih teliti untuk menghasilkan lagu baharu pada masa akan datang yang bukan sahaja menyamai kualiti Hikayat Benladin tetapi lebih daripada itu,” jelasnya.
Mendedahkan bakal tampil dengan single terbaharunya bergenre hip hop dalam masa terdekat, Ben Ladin bagaimanapun mengakui masih tercari-cari bahan yang sesuai untuk single baharunya.
“Pembikinan single dalam proses permulaan, apapun saya sekarang masih fokus dalam rangka promosi lagu Hikayat Benladin sehingga akhir tahun ini,” jelasnya yang turut menyatakan hasrat untuk berkolaborasi bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Lawatan
Menjelaskan mengenai perancangan tempoh jangka masa panjang dalam perjalanan karier seninya, Ben Ladin dengan yakin menyatakan bahawa dia mahu terus berada lama dalam industri muzik tanah air.
“Perancangan secara terperinci itu mungkin tidak ada, tetapi saya mahu terus berada lama dalam industri dengan cuba memahirkan diri menjadi seorang penyanyi yang mampu mencipta rentak (beat) sendiri.
“Dalam usaha ke arah itu juga, pada masa sama saya cuba belajar daripada individu yang lebih berpengalaman seperti Malique dan komposer hip hop terkemuka Trip Disz.
“Mereka ternyata tidak lokek berkongsi ilmu meskipun dengan pendatang baharu seperti saya,” katanya yang ditemui di Sekolah Kebangsaan Mahkota, Felda Aping Timur, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.
Sementara itu, kunjungannya ke sekolah tersebut bagi membuat kejutan kepada kumpulan Ukulele Bukit Mahkota yang terdiri daripada murid-murid tahun tiga hingga tahun lima.
Kumpulan yang dikelolakan oleh guru muzik sekolah tersebut iaitu Ahmad Sobri Muzammil Hussain, 26, menjadi tumpuan selepas video mereka menyanyikan lagu Hikayat Benladin dengan gesekan ukulele tular di media sosial.
Kehadiran Ben Ladin dilakukan sempena Hari Kokurikulum sekolah tersebut selain ingin memberi semangat kepada kumpulan terbabit yang akan melakukan persembahan di Festival Ukulele Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 18 November depan.
Meluangkan masa kira-kira selama empat jam bersama kumpulan itu dan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Mahkota, Ben Ladin turut mempersembahkan lagu Hikayat Benladin bagi menghiburkan warga sekolah berkenaan.
“Saya begitu terpesona dengan kebolehan mereka yang masih kecil memainkan ukulele sambil menyanyikan lagu Hikayat Benladin.
“Pada masa yang sama rasa terharu apabila ia menjadi antara lagu yang bakal dipersembahkan oleh mereka nanti pada festival itu,” katanya.