Zaibo jalani rawatan alternatif


Di hujung talian, suara pelaku seni bernama Zaibo ceria menjawab panggilan daripada penulis. Tiada langsung nada lemah, bahkan tidak menolak untuk ditemu bual.

Sebaliknya, tutur kata aktor yang terkenal menerusi watak Pak Selamat dalam drama Spanar Jaya itu tersusun rapi dan bersemangat berkongsi penyakit kanser yang dideritainya ketika ini.

Beliau memberitahu, dirinya berasa sihat. Cuma, masih tidak boleh menjamah sebarang makanan pepejal.

Aktor yang sudah bergelumang dengan dunia seni hampir separuh abad itu hanya dibekalkan susu khas oleh pihak hospital sebanyak lima kali sehari.

Untuk berapa lama, Zaibo perlu menikmati minuman susu, beliau sendiri tidak pasti.

“Susu yang diberi itu tinggi protein dan ia dikatakan dapat menguatkan paru-paru. Susu itu sahaja yang saya boleh nikmati.

“Cuma, pada hari ini (Jumaat lalu) doktor sudah membenarkan saya keluar hospital. Pada 12 September (Rabu depan) pula, saya kena menjalani rawatan di Institut Kanser Negara, Putrajaya. Saya perlu menjalani beberapa proses pemeriksaan mengenai penyakit ini,” ulasnya secara terperinci mengenai penyakit kanser yang dihidapinya kepada Sensasi Bintang.



Pada masa sama, Zaibo mengakui turut mencuba perubatan alternatif bagi merawat penyakitnya itu.

“Alhamdulillah, ada 10 orang yang menawarkan rawatan alternatif untuk saya cuba termasuk rawatan sengatan lebah,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada mereka yang banyak menghulur bantuan selepas beliau disahkan menghidap kanser.

Terdahulu, pemilik nama sebenar Zainal Ariffin Abd. Hamid itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak Isnin lalu selepas disahkan mengidap penyakit kanser esofagus (esophageal).



Ketika mendapat tahu kansernya sudah berada pada tahap empat dan sel barah sudah merebak ke perut, paru-paru serta tulang rusuk kiri, Zaibo hanya mampu menangis.

Berhari-hari dia berada dalam kesedihan mengenangkan nasibnya sebaik dimaklumkan doktor mengenai penyakitnya.

Ironinya, selepas bermuhasabah dan melihat wajah isteri dan anak, beliau mendapat kekuatan untuk berjuang melawannya.

Menurut Zaibo, sebelum disahkan mengidap kanser, dia kerap tersedak dan muntah setiap kali makan. Malah, tanda-tanda tersebut hanya bermula dua minggu selepas hari raya Aidilfitri yang lalu.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan kepada Zaibo boleh dibuat menerusi akaun Maybank, Zainal Ariffin Abd. Hamid (151445182071).

Post a Comment

Previous Post Next Post