
Sebut sahaja nama Nabil Ahmad, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran adalah sifatnya yang suka membuat jenaka.
Meskipun sering membuat ramai tertawa, namun pada masa sama nama pelawak yang sudah satu dasawarsa mewarnai dunia hiburan tanah air itu tidak pernah sunyi daripada menerima kecaman.
Terbaharu, dia dikritik ketika mengacarakan program di Astro Ria, iaitu MeleTOP bersama Neelofa.
Ia bermula pada Selasa lalu apabila barisan pelakon filem Langsuir telah datang ke program berkenaan untuk mempromosikan naskhah bergenre seram romantik tersebut.
Dalam siaran tersebut, gimik dengan membawa masuk hantu langsuir secara tiba-tiba dan pada masa yang sama lampu di studio pada ketika itu terpadam membuatkan kedua-dua pengacara berkenaan dan penonton terkejut.
Dek mahu meredakan ketakutan, Nabil meminta langsuir berkenaan untuk berdiri berhampiran band Caliph Buskers kerana kata Nabil, mereka tidak akan menyedarinya.
Mungkin Nabil tidak bermaksud apa-apa, namun ada sebilangan netizen menganggap ia adalah satu perbuatan yang biadap, menganggap lawak itu terlalu keterlaluan kerana mereka adalah kumpulan yang umum diketahui dianggotai orang kurang upaya (cacat penglihatan).
“Saya sebenarnya tidak tahu pun perkara ini akan jadi isu kerana saya tidak mengeluarkan kata-kata seperti berdiri berhampiran Caliph Buskers, mereka kan buta. Kalau cakap macam itu mungkin nampak kasar.
“Lagipun, dekat set MeleTOP, hanya ada dua kawasan sahaja, dekat pentas yang menempatkan saya dan Neelofa serta di ruang Caliph Bukser bermain muzik. Ruang Caliph Buskers itu besar.
“Justeru, saya cakap bawa langsuir dekat Caliph Buskers kerana mereka tidak tahu. Apa yang kurang sopannya? Tiada pun unsur penghinaan,” jelasnya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.
Tambah Nabil lagi, sekiranya ia salah dan keterlaluan, pihak produksi pasti akan memberitahu atau menegurnya.
Tidak mudah melatah, di hujung talian Nabil kekal dengan jawapan yang positif.
“Saya tidak mahu memberi apa-apa komen mengenai netizen. Mereka buat kerja mereka dan saya buat kerja saya. Mereka ada hak nak cakap apa sahaja.
“Saya tidak marah dan tidak melenting. Malah, saya rasa bersyukur kerana mereka menonton program saya, mengambil berat dan ambil tahu pasal MeleTOP. Dalam erti kata lain, program itu ada bilangan tontonan yang tersendiri,” katanya.
Bercakap mengenai perkembangan terkini-nya pula, Nabil atau nama penuhnya Ahmad Nabil Ahmad memberitahu, dia kini memberi fokus kepada penulisan skrip dan menguruskan produksi.
“Kalau berlakon, saya memang agak perlahan kerana saya selesa menulis skrip dan menguruskan produksi.
“Malah, saya kini sibuk untuk menyiapkan dua Super Telemovie untuk Astro First Eksklusif yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan dan pada November depan. Tajuknya adalah Datuk Setan dan satu lagi Maruah,” ujarnya yang turut menjadi duta bagi jenama Toyota, Yakult dan Listerine.
Bercakap mengenai perihal keluarganya pula, dia dan isterinya, Nazirah Ayub atau Zira bakal menimang cahaya mata ketiga.
“Saya berasa begitu teruja dan berharap agar orang ramai mendoakan supaya bayi kami sihat dan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.