Pembikinan naskhah bercorak penyiasatan dalam industri kreatif tanah air sebenarnya agak jauh ketinggalan berbanding karya genre romantik yang mudah mencatat rating tinggi.
Tumpuan industri dan selera penonton yang gemarkan kisah cinta dan kekeluargaan menjadi antara alasan mengapa hanya karya-karya kisah penyiasatan yang dilihat lebih berpengaruh diterbitkan untuk siaran di kaca televisyen.
Penghasilan Mandatori (Astro) contohnya diadaptasi daripada novel penyiasatan suspen popular nukilan Ramlee Awang Murshid. Lalu tidak mustahil drama berkenaan diikuti penonton.
Situasi sedemikian antara yang menjadi pendorong buat pelakon Julia Farhana menyahut cabaran bersetuju memainkan watak pesakit gangguan identiti bernama Anna dalam drama rantaian psiko-thriller arahan Kabir Bhatia bertajuk Salon.
Desakan mahu membalas dendam atas kematian orang tuanya menyebabkan Anna nekad menentukan keadilan dengan tangan sendiri.
Anna tidak menyesali setiap titis darah mangsa yang dijadikan sebagai medium untuk melepaskan kemarahan dan dendam.
Sanggup menurut kata hati tanpa rasional, rahsia kekejaman Anna tidak mampu bertahan lama setelah Detektif Sam perlahan-lahan merungkai setiap misteri kematian, sehinggalah dia jatuh cinta terhadap wanita yang menghidap gangguan identiti itu.
Terbawa-bawa karakter
Membawakan watak yang perlu mengubah emosi dalam sekelip mata ternyata memberi cabaran besar buat Julia untuk merealisasikan karakter berkenaan.
Menjadikan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasitif ke-49, Maya Karin menerusi filem Jwanita sebagai rujukan, Julia mengakui kadangkala terbawa-bawa karater Anna sehingga ke luar set penggambaran,
Melepaskan ketawa kecil, Julia meluahkan keyakinan bahawa perasaan tersebut bagaimanapun tidak mendorongnya untuk membunuh apatah lagi mencederakan sesiapa.
“Kejadian itu berlaku sewaktu kru produksi sibuk menyiapkan prop di lokasi penggambaran. Saya kemudian berjalan dan melintasi sebuah cermin solek merenung ke arahnya.
“Tanpa sedar, saya bersuara secara tiba-tiba dan mengatakan, so what if i’m psycho? (apa masalahnya jika aku psiko?). Seorang kru segera mengatakan, itu bukan saya.
“Sejujurnya, saya sendiri berasa terkejut dan tidak menyangka karakter begitu kuat pengaruhnya sehingga terbawa-bawa ke alam realiti,” terang Julia saat memperincikan insiden berkenaan.
Julia turut menyifatkan kesungguhan menjiwai watak, secara tidak langsung mempengaruhinya berubah menjadi personaliti berbeza.
Sedia dikecam
Pelakon berusia 26 tahun itu juga berkongsi tentang kesediaannya melakukan babak bercium dengan salah seorang pelakon lelaki dalam drama rantaian 10 episod tersebut.
Awalnya, agak berat untuk Julia menjelaskan perkara tersebut. Namun, bagi mengelakkan timbulnya salah faham pada kemudian hari, Julia terlebih dahulu membuat pengakuan sebelum kerjanya dipertontonkan kepada umum.
Bukan bermaksud membiarkan diri menjadi sasaran kecaman, namun wanita berasal dari Sabah itu yakin khalayak kini bijak menilai dan membezakan antara perlakuan sebenar dan teknik rakaman.
“Saya seorang yang jujur dan tidak akan berahsia apatah lagi melarikan diri tanpa sebarang penjelasan sehingga menyebabkan individu lain berasa marah atau terpinga-pinga.
“Sebagai selebriti saya patut berani menanggung sebarang risiko dalam setiap tindakan dan tidak gentar berhadapan dengan kontroversi,” ujarnya.
Pada masa sama, Julia telah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan sewaktu menjayakan babak berani bersama pelakon, Josiah Hogan seperti yang dimaksudkan.
Membawa peranan sebagai pasangan kekasih, Julia akui terdapat beberapa adegan panas melibatkan dirinya dan juga pelakon lain.
“Tidak perlu diperincikan sekarang tetapi beberapa bahagian tersebut telah dipotong sebelum disiarkan di televisyen. Bagi yang ingin menonton versi tanpa potongan, penonton boleh menyaksikannya menerusi aplikasi Viu,” tambah Julia.
Sedar keberanian melakonkan babak berahi akan mengundang sentimen negatif dan stereotaip, Julia bagaimanapun mempunyai pandangan yang berbeza.
Baginya, terlibat dalam adegan sebegitu bukan bertujuan memberi pengaruh negatif, sebaliknya lebih cenderung ke arah profesionalisme mengerjakan skrip yang baik.
“Saya tidak melakonkan babak begitu sekadar suka-suka melainkan mempunyai sebab kukuh iaitu dengan alasan untuk berkarya. Meskipun mungkin akan mengundang skeptikal, tetapi ia salah satu daripada cabaran untuk menjadikan saya lebih kreatif bagi mewujudkan perbezaan antara karakter dibawa,” tutur pelakon filem Dorm Melati itu.
Keterbukaan
Beralih kepada gandingannya, Idris Khan, pelakon berusia 30 tahun itu membawakan watak sebagai Detektif Sam yang ditugaskan menyiasat kes kematian misteri.
Idris akui tidak sukar untuk mencari keserasian dengan wanita berdarah kacukan Melayu-Itali itu meskipun ia merupakan gandingan pertama mereka.
“Saya banyak meluangkan masa dengan Julia di lokasi memandangkan kami mempunyai banyak babak bersama. Mungkin sebab itu kami mudah untuk serasi.
“Tambahan, setiap watak yang ditawarkan menuntut pelakon menghadiri sesi uji bakat terlebih dahulu sebelum ditawarkan watak terbabit,” terang Idris atau nama lengkap Idris Khan Abd. Ghaffar Khan.
Melanjutkan cerita, Idris tidak menafikan kelebihan siaran menerusi platform penstriman, Viu memberi hak kebebasan kepada pelakon, khususnya dari aspek dialog.
Menurut Idris, hampir 70 peratus naskhah tersebut menggunakan bahasa Inggeris termasuk lampu hijau untuk melontarkan kata-kata kesat yang sememangnya tidak dibenarkan bersiaran di kaca televisyen mahupun layar perak.
Katanya, peluang tersebut membantunya menterjemahkan watak dengan lebih realistik memandangkan karakter Detektif Sam sendiri yang memiliki personaliti agak dingin dan tegas.
“Itu bukan satu perkara negatif mahupun mengambil kesempatan memandangkan ia bersiaran di platform antarabangsa. Tetapi ia lebih ke arah membantu pelakon menyerlahkan kreativiti pelakon.
“Diberi ruang kebebasan tidak bermakna tiada batasan. Bagi menggantikan babak yang telah dipotong, kami menjalani penggambaran berbeza untuk siaran di televisyen dan digital.
“Hal itu bagi mengelakkan perubahan pada urutan cerita memandangkan terdapat beberapa babak yang tidak dapat disiarkan,” terang Idris.
Mengharapkan naskhah terbabit membuka peluang untuknya mencuri peluang di peringkat antarabangsa, Salon juga bersiaran di saluran ntv7 pada setiap Isnin Selasa pukul 10 malam bermula 17 September (hari ini).
Selain Julia dan Idris, Salon turut membariskan pelakon Iman Corinne dan Josiah Hogan. Selepas disiarkan di kaca televisyen, khalayak boleh menonton drama rantaian terbabit menerusi platform penstriman, Viu.