Imuniti selamatkan Wani sertai semi final Big Stage


Peringkat suku akhir program realiti Big Stage menyaksikan tiada penyingkiran yang berlaku apabila juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menggunakan undi imuniti untuk menyelamatkan peserta tercorot, Wani Kayrie pada pentas persembahan yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Ahad lalu.

Situasi itu sekali gus membolehkan kesemua enam peserta yang masih ada termasuk Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan, Arif Bahran dan Baby Shima mara ke peringkat separuh akhir.

Menurut Siti, biarpun Wani membuat banyak kesilapan pada persembahan minggu keenam (suku akhir), namun selaku orang lama dalam industri, beliau masih sayangkan bakat yang ada pada gadis berusia 18 tahun itu. Justeru, beliau memilih menyelamatkannya menggunakan imuniti.

“Sejak beberapa minggu lepas terutama apabila melihat kepada undian aplikasi Tik Tok yang meletakkan Wani pada tangga terbawah, saya sudah dapat mengagak taktik permainan program ini dan tahu siapa yang perlu diselamatkan jika perlu.

“Mungkin tuah Wani kurang dari segi undian peminat tetapi saya yakin, dia memiliki banyak lagi kelebihan yang ingin ditonjolkan. Jadi saya harap dia tidak mensia-siakan peluang kedua ini,” jelasnya pada sidang akhbar sejurus selesai persembahan.

Pada minggu keenam, selain membawakan lagu solo, peserta juga perlu mengadakan persembahan duet yang ditugaskan oleh seorang lagi juri tetap iaitu Faizal Tahir bagi menguji keserasian mereka di atas pentas.



Janji tebus silap

Sementara itu, bagi Wani yang membawakan lagu Getaran Cinta Di Jiwa nyanyian Liza Hanim dan berduet lagu Hael Husaini, Jampi bersama Afieq mengakui dia banyak melakukan kesilapan pitching sejak beberapa minggu lalu dan sedar bahawa itu antara punca dia sering berada pada kedudukan tiga terbawah.

Berasa bersyukur kerana Siti masih lagi tidak hilang keyakinan pada bakat yang ada pada dirinya, dia berjanji untuk menebus kesilapan yang dilakukan apabila mendapat lagu Inggeris pada minggu separuh akhir.

Enggan terlalu memikirkan kesilapan yang sudah berlaku, Wani ingin membuktikan bahawa juri tidak melakukan kesilapan dengan menyelamatkan dirinya daripada tersingkir pada minggu suku akhir.

“Bagi minggu separuh akhir, saya mendapat lagu kegemaran iaitu Crazy In Love nyanyian Beyonce. Jadi saya tidak sabar untuk membuat kelainan dalam persembahan nanti.

“Saya akan mengelak melakukan sebarang kesilapan sama serta berulang untuk membuktikan keupayaan pada juri dan penonton,” katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post