Fauziah Nawi Teruknya mentaliti netizen


Tidak kecewa dengan cemuhan yang diterima, namun Fauziah Nawi tetap meluahkan perasaan terkilan atas sikap dan mentaliti netizen yang gemar mencemuh orang lain.

Seniwati merangkap aktivis teater negara, Fauziah Nawi mengakui kecewa dengan sikap segelintir masyarakat di negara ini yang gemar mencaci dan mengutuk tanpa mendalami susur galur atau kejadian sebenar sesuatu perkara.

Luahan tersebut dinyatakan Fauziah, 61, berikutan isu tular membabitkan video persembahan promosi teater Kembang Layarku daripada empat orang pelajarnya daripada Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 yang menjadi cemuhan ramai.
Jelas pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu, beliau sedih dengan ejekan yang dilontar masyarakat terhadap persembahan teater tersebut, selain cepat menjatuhkan hukum terhadap para pelajarnya.

Ikuti temu bual bersama wanita yang mesra dibahasakan ibu dalam kalangan pelakon tanah air itu ketika ditemui usai tayangan eksklusif filem bebas atau indie, Mencari Rahmat di Menara Ilham, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Boleh ceritakan sedikit tentang pembabitan Fauziah dalam filem indie Mencari Rahmat?

Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Normah iaitu pembantu kepada Razak atau Rahmat lakonan Nam Ron dan penjaga kepada Ratna (Sharifah Amani). Sejujurnya, saya sangat menyukai naskhah ini kerana teksnya yang mencabar bagi seorang pelakon.

Terlalu banyak perkara mahu diluahkan dalam filem ini tetapi ia perlu diterjemahkan dalam pertuturan dialog yang biasa. Malah satu patah perkataan pun tidak diubah daripada skrip yang ditulis oleh pengarah iaitu Al Jafree Md. Yusop. Sebenarnya itulah hasil latihan yang kami jalani, selain ada sesi membaca skrip yang membolehkan semua duduk berbincang tentang hubungan psikologi antara watak.



Selalunya naskhah indie jarang mendapat sambutan daripada penonton marhaen di negara ini. Jadi, bagaimana pula harapan anda untuk naskhah tersebut?

Saya sarankan Mencari Rahmat harus ditonton semua orang. Sebab, naskhah ini bercerita tentang kenyataan hidup. Bagaimana orang perlu dan terpaksa menipu untuk memuaskan hati serta mendapatkan apa yang dimahukan.

Paling penting, mesej tersirat yang ada iaitu tentang betapa ramai daripada kita yang tidak dapat melihat rahmat di sekeliling kerana terlalu sibuk menentukan kehidupan orang lain.

Naskhah berkenaan bercerita tentang isu berat namun disampaikan secara komedi. Apa komen anda apabila kali ini muncul dalam naskhah yang suasananya bersadur jenaka dan bukannya air mata?

Ironinya, perkara serius itu akan jadi komedi secara sendiri kerana situasi yang berlaku dalam sesuatu naskhah akan menampakkan kebodohan setiap watak.

Misalnya dalam filem ini, kita nampak bagaimana tamaknya manusia sehingga akhirnya mentertawakan diri. Kalau orang kata saya hanya boleh bawa watak air mata dan tidak boleh bermain komedi, saya juga tidak pasti.

Sebab sebagai seorang pelakon, kami boleh jadi apa sahaja. Biarpun dalam filem ini saya tidak nampak mana bahagian komedinya, tetapi jenaka itu keluar secara sendiri kerana suasana yang digarap. Mungkin kerana penonton gemar melabelkan seseorang pelakon untuk satu-satu watak tertentu sahaja, itulah yang menyebabkan saya menerima kesan serupa.



Baiklah, beralih terhadap isu naskhah teater Kembang Layarku yang tular baru-baru ini sehingga menerima kecaman daripada netizen. Boleh berikan sedikit penjelasan?

Saya akui agak pelik dengan sikap orang yang boleh mengkritik sedangkan mereka tidak tahu cerita dan tidak menonton pun naskhah tersebut. Orang luar kena faham, apa yang keluar di kaca televisyen adalah untuk promosi sahaja yang berdurasi singkat hanya selama tiga minit.

Jadi, untuk mempromosikan persembahan yang memakan masa lebih satu jam setengah dalam durasi tiga minit, bukannya mudah. Jadi pengarah perlu mengambil bahagian yang boleh menimbulkan tanda tanya dan minat penonton untuk mengetahui lebih lanjut tentang naskhah tersebut.

Sebagai pengasas rumah teater tersebut, adakah timbul perasaan sedih dan kecewa apabila naskhah terbitan produksi berkenaan diperlekehkan?

Jujur saya memang langsung tidak kecewa, tetapi berasa sedih. Sebabnya, sekarang baru saya tahu bahawa mentaliti rakyat Malaysia begitu teruk. Rupa-rupanya ramai antara kita yang gemar memaki hamun dan menjatuhkan hukum tanpa usul periksa.

Bagaimana pula dengan reaksi pelajar-pelajar tersebut?

Mereka sangat okey dan positif, malah gembira pula selepas perkara itu tular. Kata mereka, selepas ini mereka akan lebih dikenali. Cuma saya masih tidak boleh hadam situasi mengapa perlu tular dan dikutuk untuk jadi popular. Ironinya, Sanggar Teater Fauziah Nawi sudah pun beroperasi bertahun lama dan ada pengikut tersendiri. Tetapi tidak mengapa, walaupun tidak pernah berharap isu ini akan terjadi namun saya okey kerana semakin ramai yang mengenali kami.

Post a Comment

Previous Post Next Post